Laman Utama / Panduan Pembelian / Ulasan HUAWEI MatePad Pro 13.2″: Tablet berkuasa dengan pengalaman PC lengkap

Ulasan HUAWEI MatePad Pro 13.2″: Tablet berkuasa dengan pengalaman PC lengkap


By Editor April 24, 2025

Mungkin kedengaran pelik pada awalnya untuk mencadangkan sebuah tablet kepada seseorang yang sedang mencari komputer riba. Tetapi dalam kes ini, ianya memang berbaloi. HUAWEI MatePad Pro 13.2″ yang terbaru dibina sebagai alternatif kepada komputer riba, dan walaupun ia jelas adalah sebuah tablet, kehadiran pelbagai ciri seperti desktop dan aksesori terbina membuatkannya cukup mirip sebuah laptop.

Harganya agak tinggi iaitu RM4,999, tetapi ia hadir bersama penutup belakang magnetik, Papan Kekunci Magnetik Pintar, dan juga M-Pencil (Gen ke-3). Gabungkan kesemuanya dan anda akan dapat pengalaman seperti PC yang mampu menandingi komputer sebenar. Kita akan selami perinciannya nanti, tetapi mari kita bincangkan tentang perkakasan terlebih dahulu.

Kualiti binaan terbaik, seperti biasa

Tanpa aksesori sekalipun, MatePad Pro 13.2″ tetap menyerlah. Tak mengejutkan bahawa HUAWEI kini sinonim dengan kualiti binaan yang kemas. Kami pernah melihatnya sewaktu pelancaran dan sesi pengalaman langsung, dan boleh dikatakan beberapa tablet mereka sebelum ini memang menepati jangkaan – seperti MatePad 12 X, yang sememangnya memberi impak sewaktu ia tiba di meja kami hujung tahun lepas.

MatePro 13.2″ tidak mengubah tanggapan kami. Panel belakang terasa licin seperti sutera yang digosok, namun cukup kukuh untuk menahan hentakan ringan (walaupun tak disyorkan). Rekaannya memang cantik, terutama dalam warna Premium Gold – seolah-olah kepingan emas nipis. Walaupun saiznya besar, tablet ini ringan, hanya 580g. Namun dengan penutup dan papan kekunci, beratnya boleh meningkat sekitar 1kg.

MatePad Pro 13.2” sememangnya sebuah tablet premium tanpa sebarang cela dari segi rekaan mahupun kualiti binaannya.

Prestasi dan Paparan

Bukan sekadar cantik pada rupa, tablet ini juga hadir dengan prestasi yang meyakinkan. Untuk spesifikasi, MatePad Pro 13.2” hanya ditawarkan dalam satu konfigurasi sahaja — 12GB RAM dan 512GB storan dalaman. Tiada pilihan LTE disediakan, namun sambungan Wi-Fi sepatutnya sudah mencukupi, memandangkan anda sentiasa boleh menyambungkan hotspot dari telefon pintar anda.

Tablet ini dikuasakan oleh cip pemproses HUAWEI sendiri, Kirin T92. Tiada apa yang terlalu menonjol di bahagian ini, namun cip ini masih mampu mengendalikan aplikasi yang sederhana intensif seperti CapCut dengan lancar. Malah, ia juga boleh menjalankan permainan Mobile Legends: Bang Bang pada kadar bingkai tinggi dengan tetapan grafik Ultra — satu penanda aras yang baik jika anda bercadang untuk bermain game yang ringan.

Namun, tumpuan utama tablet ini sudah tentu pada paparan PaperMatte yang menambah sentuhan mewah pada peranti ini. Ciri ini bukan sahaja menjadikan pengalaman menatal (scrolling) dan menulis yang lebih selesa, malah kelebihan sebenar terletak pada keupayaan anti-silau yang ditawarkannya. Paparan ini kekal jelas walaupun di bawah cahaya matahari terik atau pencahayaan dalaman yang menyilaukan — menjadikan pengalaman tontonan jauh lebih menyenangkan.

Seperti namanya, MatePad Pro hadir dengan saiz 13.2” dan dilengkapi panel Flexible OLED yang menyokong resolusi 2.8K (2880×1920). Tambahan pula, ia menampilkan kadar segar semula setinggi 144Hz.

Bagi mereka yang berjiwa seni, MatePad Pro menyokong julat warna P3 yang luas untuk reproduksi warna yang tepat. Kami yakin, tekstur seperti kertas dan M-Pencil (generasi ke-3) yang disertakan akan memainkan peranan besar dalam menghasilkan karya agung anda yang seterusnya. Bercakap tentang kreativiti, aplikasi GoPaint patut dicuba sebagai kanvas untuk mempamerkan bakat seni anda. HUAWEI telah mempersembahkan karya seni yang dihasilkan menggunakan aplikasi GoPaint dalam pelancaran terbaru mereka, dan tak dinafikan hasilnya sangat mengagumkan.

Multi-skrin dan WPS Office

Bagi yang tidak pandai melukis walaupun gambar stik, jangan risau dulu. Jika anda seorang profesional yang sentiasa bergerak, tablet ini adalah pilihan yang hebat sebagai pengganti komputer riba – terutamanya jika anda tidak terlalu bergantung pada Google.

WPS Office merupakan alternatif yang baik kepada Word dan Google Docs yang lebih biasa digunakan. Versi asasnya adalah percuma dan cukup memadai untuk mereka yang memerlukan fungsi asas. Selain WPS Doc, tablet ini juga dilengkapi dengan WPS Presentation (seperti PowerPoint) dan WPS Spreadsheet yang sudah dipasang.

Sementara itu, ciri Multi-Window dalam HarmonyOS memudahkan tugasan serentak, dan apabila digabungkan dengan paparan 13.2”, pengalaman pengguna terasa hampir seperti menggunakan sebuah komputer riba.

Saya agak hairan apabila mendapati bahawa aplikasi WPS Docs tidak serasi secara langsung dengan fungsi Multi-Window. Apa yang saya maksudkan dengan “secara langsung” ialah apabila saya cuba membuka aplikasi WPS Docs menggunakan mod Multi-Window, sistem akan memaparkan mesej: “HUAWEI PC Software Engine does not support split screen display.”

Namun begitu, terdapat jalan penyelesaian bagi masalah ini. Daripada membuka terus aplikasi WPS Docs, pengguna boleh memilih untuk menjalankan WPS Office (aplikasi sehenti yang merangkumi semua perisian WPS) dan seterusnya memilih WPS Docs dari situ. Walaupun ia memerlukan satu langkah tambahan, namun selepas semuanya diselaraskan, penggunaan pelayar web bersama WPS Docs dalam mod Multi-Window memberikan pengalaman yang sangat membantu, terutamanya untuk tugasan yang memerlukan penyelidikan intensif.

Aksesori

Saya sebutkan tadi bahawa nilai tablet ini terletak pada peranti tambahannya. Walaupun tiada ciri yang benar-benar menonjol, namun kesemua perkara positif kecil ini memberikan pengalaman yang menyenangkan. Sebagai contoh, penutup magnetik berfungsi sebagai penyokong dengan julat kecondongan yang luas. Secara peribadi, saya lebih suka jenis alas ini berbanding yang menggunakan alur yang hanya membenarkan sudut tetap.

Selain itu, Smart Magnetic Bluetooth Keyboard juga wajar diberi perhatian. Ia disambungkan melalui NearLink – teknologi tanpa wayar jarak dekat milik HUAWEI. Jika anda belum biasa dengannya, NearLink direka untuk memudahkan sambungan antara peranti HUAWEI dengan lancar, bahkan mesra pengguna walaupun bagi yang kurang mahir teknologi. Untuk papan kekunci ini, ia hanya perlu disambungkan sekali sahaja semasa proses pemasangan awal. Setelah dipasangkan, anda boleh mencabutnya dan meletakkannya mengikut keselesaan dan susun atur anda sendiri.

Memandangkan tablet ini tidak lagi terikat kepada papan kekunci secara fizikal, ia membuka lebih banyak kemungkinan dari segi fleksibiliti – sesuatu yang mungkin sukar dicapai dengan papan kekunci berwayar. Contohnya, saya kini boleh meletakkan tablet di atas alas yang lebih tinggi mengikut sudut pandangan yang selesa, manakala papan kekunci boleh diletakkan di meja bawah yang lebih sesuai untuk menaip. Hasilnya, ia menjadi pilihan yang jauh lebih fleksibel berbanding sebuah komputer riba, di mana skrin dan papan kekunci kekal bersambung secara tetap.

Menyambungkan M-Pencil juga semudah itu. Proses pairing hanya memerlukan anda melekapkan stylus pada bahagian atas sisi landskap tablet, dan satu notifikasi akan muncul meminta pengesahan — anda hanya perlu tekan ‘Ya’. Bagi M-Pencil generasi ke-3 ini, walaupun saya tidak dapat ulas dari sudut kreativiti seni, saya boleh sahkan bahawa ianya sangat responsif untuk kegunaan harian.

Kesimpulan

HUAWEI MatePad Pro 13.2” sememangnya sebuah tablet yang serba lengkap dan premium. Dengan harga RM4,999, ia memberikan prestasi yang memuaskan, rekaan yang elegan, paparan yang jelas serta set aksesori yang lengkap untuk menyerlahkan pengalaman seperti menggunakan PC. Ekosistem tablet ini juga direka dengan teliti dan mudah digunakan, manakala papan kekunci Bluetooth baharu menawarkan fleksibiliti yang jauh lebih baik untuk pelbagai kegunaan — sama ada untuk bekerja mahupun bersantai.

Golongan profesional yang sering bekerja secara mudah alih dan freelancer pastinya akan mendapat manfaat daripada susun atur yang sangat fleksibel serta keupayaan multitasking yang menyerupai pengalaman menggunakan PC sebenar. Bagi golongan kreatif pula, MatePad Pro 13.2” juga wajar dipertimbangkan memandangkan ia didatangkan bersama M-Pencil generasi ke-3. Tambahan pula, menerusi pelbagai pameran dan pertandingan yang telah kita saksikan sebelum ini, aplikasi GoPaint terbukti menjadi kanvas digital yang boleh diharap untuk menghasilkan karya seni yang menarik.

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!