Sony satukan pasukan WALKMAN, BRAVIA, dan Alpha untuk bangunkan Xperia 1 VII

Sony Xperia 1 VII kini telah diperkenalkan. Terbaharu dalam barisan peranti flagship Sony, syarikat itu menyatakan bahawa Xperia 1 VII melambangkan DNA syarikat dengan kerjasama antara pereka dari pasukan Alpha, WALKMAN, dan BRAVIA.
Digelar sebagai “telefon pintar dengan jiwa Alpha”, Xperia 1 VII hadir dengan sistem tiga kamera belakang, merangkumi sensor utama Exmor T 48MP yang boleh bertukar antara focal panjang 24mm dan 48mm, lensa telefoto Exmor RS 12MP dengan zum boleh ubah dari 85mm hingga 170mm, serta sensor ultra-lebar Exmor RS 48MP dengan focal 16mm.

Fungsi kamera ini turut disokong oleh ciri AI daripada Sony, termasuk autofokus penjejakan subjek dan Posture Estimation, yang membantu menjangka pergerakan manusia untuk meningkatkan ketepatan fokus. Butang pengatup khusus juga disediakan, lengkap dengan fungsi kunci fokus separuh tekan seperti kamera tradisional. Pengguna juga boleh melancarkan aplikasi kamera dengan pantas tanpa perlu membuka kunci peranti.
Di bahagian hadapan, Xperia 1 VII menempatkan kamera swafoto 12MP. Paparan OLED bersaiz 6.5 inci ini direka untuk meniru kualiti visual TV BRAVIA flagship keluaran Sony, dengan resolusi Full HD+ (1080 x 2340), kadar segar semula 120Hz, liputan penuh DCI-P3, serta tahap kecerahan puncak yang menjadikannya skrin paling terang pernah ditampilkan pada siri Xperia. Skrin ini juga dilindungi oleh Gorilla Glass Victus 2.

Kualiti audio juga diberi penekanan besar, dengan Sony menyertakan litar audio berprestasi tinggi serta saluran isyarat yang direka semula, dibangunkan bersama pasukan WALKMAN. Telefon ini turut hadir dengan bicu audio 3.5mm, sesuai untuk pengguna yang lebih gemar mendengar melalui fon telinga berwayar. Sony mendakwa bahawa model ini menawarkan peningkatan ketara dari segi pengimejan bunyi dan kejelasan audio berbanding model Xperia sebelum ini.

Peranti ini dikuasakan oleh cip pemproses Snapdragon 8 Elite daripada Qualcomm. Ia turut dilengkapi bateri berkapasiti 5,000mAh, yang menurut Sony mampu bertahan sehingga dua hari dengan sekali cas. Telefon ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna — Slate Black, Moss Green dan Orchid Purple — dan hadir dengan kemasan kaca bertekstur di bahagian belakang untuk pegangan yang lebih selesa.
Buat masa ini, Sony masih belum mengumumkan harga rasmi bagi Xperia 1 VII di Malaysia, namun menariknya, halaman produk untuk peranti ini sudah pun tersenarai di laman web rasmi Sony Malaysia.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!