CMF Phone 2 Pro: NFC, tiga kamera, lensa boleh ubah – Harga RM1,199

CMF by Nothing baru sahaja melancarkan CMF Phone 2 Pro, telefon pintar kedua dalam barisan produk mereka selepas CMF Phone 1. Jika anda tertanya-tanya, CMF tidak menyebut apa-apa tentang CMF Phone 2, jadi kewujudan model asas bukan-Pro masih menjadi tanda tanya.
Kembali kepada CMF Phone 2 Pro, model baharu ini mengekalkan konsep modular dari Phone 1 yang membolehkan panel belakang ditukar ganti. Ini termasuk penutup universal yang berfungsi sebagai adaptor magnetik untuk aksesori.

Akis Evangelidis, pengasas bersama Nothing, berkata semasa ucaptamanya, “CMF Phone 2 Pro mengekalkan rekaan modular dengan pilihan aksesori yang sama ada dipasang terus pada telefon menggunakan skru, atau disambungkan melalui penutup universal baharu.”
Sehubungan dengan itu, satu penambahan menarik kepada rangkaian aksesori yang serasi dengan CMF Phone ialah lensa makro dan fisheye boleh tukar, yang boleh dipasang untuk mengubah fungsi kamera terbina. Selain itu, terdapat juga pemegang kad baharu yang turut berfungsi sebagai penyokong, serta tali lanyard — semuanya dijual secara berasingan.

Satu lagi peningkatan ketara adalah ketebalan telefon yang kini hanya setebal 7.8mm, lebih nipis berbanding 8.2mm pada Phone 1.
Dari segi perkakasan, terdapat beberapa pembaharuan menarik. Antaranya ialah paparan baharu 6.77 inci yang kini menggunakan panel Flexible AMOLED, menggantikan panel AMOLED kaku sebelum ini. Menurut CMF, ini membolehkan bezel simetri dan ketahanan yang lebih baik. CMF Phone 2 Pro menawarkan resolusi FHD+ (1080×2392) dan kecerahan puncak 3,000nits.

Untuk fotografi, CMF Phone 2 Pro hadir dengan sistem tiga kamera yang diterajui sensor utama 50MP berasaskan sensor 1/1.57 inci. Ia hampir serupa dengan konfigurasi Nothing Phone (3a), tetapi model CMF tidak menyertakan sokongan OIS, hanya bergantung pada EIS. Melengkapkan kamera utama adalah kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 2x, dan kamera ultra-lebar 8MP. Di bahagian hadapan, terdapat kamera swafoto 16MP.
Telefon ini dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 7300 yang menyokong rangkaian 5G. CMF Phone 2 Pro juga hadir dengan sokongan NFC, menangani kekurangan besar pada model sebelumnya. Kapasiti bateri kekal pada 5,000mAh, dengan sokongan pengecasan berwayar 33W.

Memandangkan Nothing dan CMF menggunakan ekosistem Nothing OS, CMF Phone 2 Pro turut dilengkapi Essential Key yang memberi akses terus ke Essential Space.
Telefon ini didatangkan terus dengan Android 15, dan CMF berjanji menawarkan 3 tahun kemas kini Android serta 6 tahun kemas kini keselamatan untuk peranti ini.
Harga CMF Phone 2 Pro di Malaysia
CMF Phone 2 Pro ditawarkan dalam tiga warna: Oren, Putih, dan Hitam. Di Malaysia, ia hadir dalam satu varian 8GB RAM / 256GB storan dengan harga RM1,199.
Pra-tempahan bermula 29 April melalui platform rasmi Nothing seperti Nothing.tech, Lazada Nothing Flagship Store, Shopee Nothing Official Store, dan TikTok Shop Nothing Malaysia.
Telefon ini akan mula dijual secara rasmi mulai 6 Mei 2025.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!