Pemantau Tidur Lengan Garmin Adalah Alternatif Bijak Ganti Cincin & Jam Pintar

Teknologi penjejakan tidur mencapai satu lagi pencapaian baharu apabila Garmin memperkenalkan Index Sleep Monitor—satu alat pemantauan tidur yang mungkin menjadi alternatif terbaik bagi mereka yang mendapati jam tangan pintar dan cincin pintar terlalu mengganggu.
Index Sleep Monitor secara asasnya ialah cuff yang dipakai pada bahagian atas lengan, seakan-akan seperti alat pengukur tekanan darah tetapi tanpa wayar. Menurut Garmin, bahan yang digunakan adalah 70% nilon dan 30% spandeks, menjadikannya ringan dan mempunyai ruang udara.

Di dalam cuff ini terdapat unit sensor boleh tanggal yang mengumpulkan data tidur sepanjang malam, termasuk tahap tidur, variasi kadar degupan jantung (HRV), dan perubahan pernafasan. Untuk wanita, peranti ini turut mengesan suhu kulit bagi memberikan gambaran tentang kesihatan haid, termasuk ramalan kitaran dan anggaran ovulasi lepas.

Oleh kerana tiada skrin pada cuff semua data akan dipaparkan secara terperinci melalui aplikasi Garmin Connect. Statistik ini juga boleh disegerakkan ke jam pintar Garmin, membolehkan pengguna melihat data mereka terus dari pergelangan tangan.

Selain itu, Index Sleep Monitor hadir dengan penggera bangun pintar yang bergetar lembut untuk mengejutkan pengguna pada ‘waktu paling sesuai’. Garmin mendakwa peranti ini mampu bertahan sehingga tujuh malam sebelum perlu dicas semula. Cuff itu juga boleh dibasuh dengan mesin, di mana pengguna hanya perlu mengeluarkan unit sensor terlebih dahulu.
Harga Index Sleep Monitor di Malaysia ialah RM799, dan tersedia dalam dua saiz: L/XL dan S/M. Ia boleh dibeli melalui pengedar sah Garmin serta dalam talian menerusi laman rasmi Garmin dan platform Shopee dan Lazada.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

