Terlalu Lama Memegang Telefon? Masa Untuk Detoks Digital

Adakah anda berasa penat selepas terlalu lama menatap telefon? Mungkin mata anda terasa letih, kepala terasa berat atau anda berasa bosan dan tidak puas selepas melayari media sosial. Ini dikenali sebagai keletihan akibat penggunaan telefon – satu keadaan apabila kita menggunakan telefon terlalu lama tanpa menyedarinya.
Ramai antara kita menggunakan telefon dari pagi hingga malam – menyemak mesej, menonton video, membaca hantaran, atau bermain game. Tetapi apabila kita sentiasa terpaut pada skrin, ia boleh menyebabkan tekanan, keletihan, malah rasa kesunyian. Sebab itulah semakin ramai yang mencuba sesuatu yang dipanggil “detoks digital” – cara yang lebih santai untuk kurangkan penggunaan telefon dan lebih menikmati kehidupan di dunia sebenar.
Apa itu detoks digital?
Detoks digital bermaksud berehat seketika daripada menggunakan telefon, bukannya berhenti terus daripada melihat skrin. Ia tentang menggunakan telefon dengan lebih bijak – hanya apabila benar-benar perlu. Dengan cara ini, anda akan dapat lebih banyak masa untuk berehat, fokus dan menikmati kehidupan di sekeliling anda.
Anda tidak perlu memadam semua aplikasi atau mematikan telefon selama seminggu. Detoks digital hanyalah perubahan kecil yang boleh menjadikan anda berasa lebih baik setiap hari.

Cara mudah untuk mencuba detoks digital
Berikut beberapa langkah mudah untuk mengurangkan ketagihan terhadap telefon:
1. Jauhkan telefon semasa waktu makan
Semasa makan, cuba letakkan telefon di tepi atau di bilik lain. Ini membantu anda menikmati makanan dengan lebih baik dan lebih fokus pada saat itu, terutamanya jika anda makan bersama keluarga atau rakan-rakan. Waktu makan adalah masa yang baik untuk berehat seketika daripada skrin dan berinteraksi dengan orang di sekeliling anda.
2. Matikan notifikasi yang tidak penting
Banyak aplikasi menghantar notifikasi sepanjang hari, tetapi kebanyakannya bukanlah perkara penting. Pergi ke tetapan telefon dan matikan notifikasi daripada aplikasi seperti permainan, media sosial atau platform beli-belah. Simpan notifikasi yang hanya benar-benar penting seperti panggilan dan mesej daripada rakan-rakan terdekat atau ahli keluarga.
3. Letakkan telefon di bilik lain semasa tidur
Letakkan telefon di luar bilik tidur boleh membantu anda tidur lebih lena dan mengelakkan anda daripada melayari media sosial pada waktu malam. Gunakan jam loceng sebagai pengganti telefon untuk bangun pagi. Perubahan kecil ini boleh membantu otak anda berehat sepenuhnya dan bersedia untuk hari esok.

4. Semak masa skrin anda
Kebanyakan telefon pintar membolehkan anda melihat berapa lama masa yang dihabiskan untuk setiap aplikasi setiap hari. Cuba semak – anda mungkin akan terkejut. Bila anda sudah tahu tabiat penggunaan anda, lebih mudah untuk tentukan aplikasi mana yang perlu dikurangkan dan bila masa yang sesuai untuk berehat.
5. Aktifkan mod hitam putih
Skrin berwarna menjadikan aplikasi kelihatan lebih menarik. Menukar telefon kepada mod hitam putih menjadikannya kurang menarik dan boleh membantu anda mengurangkan tabiat menggunakan telefon. Ia adalah tetapan yang mudah untuk dicuba, dan anda boleh menghidupkan atau mematikannya pada bila-bila masa.
6. Pilih waktu tanpa telefon setiap hari
Pilih waktu tertentu dalam sehari, seperti 30 minit selepas bangun tidur atau sebelum masuk tidur, untuk benar-benar menjauhkan diri daripada telefon. Gunakan masa ini untuk meregangkan badan, menulis jurnal, atau sekadar menikmati suasana tenang. Memberi ruang rehat kepada minda boleh membantu anda rasa lebih tenang dan segar.

Walaupun hanya berjauhan seketika daripada telefon, ia sudah cukup untuk membuatkan anda rasa lebih fokus dan tenang yang mana anda sebenarnya tidak perlu berhenti menggunakan telefon sepenuhnya.
Tujuannya adalah untuk rasa lebih terkawal dan menikmati hidup tanpa terlalu bergantung pada skrin. Jadi, setiap kali anda ingin mengambil telefon hanya kerana kebiasaan, tanya dulu pada diri anda: Adakah saya benar-benar perlu untuk menyemaknya sekarang? Mungkin sedikit masa jauh dari skrin itulah yang anda perlukan.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

