CMF lancar Buds 2 Plus, Buds 2 dan Buds 2a; Harga bermula RM159

Sub-jenama Nothing, CMF by Nothing, telah melancarkan tiga model fon audio baharu untuk barisan produk tahun 2025 mereka. Penambahan terkini ini diumumkan bersama pelancaran CMF Phone 2 Pro dalam acara global yang berlangsung malam tadi.
CMF Buds 2, Buds 2 Plus, dan Buds 2a dipasarkan sebagai pilihan mampu milik dalam beberapa julat harga berbeza. Nama model yang hampir serupa mungkin mengelirukan sedikit, jadi mari kita perincikan satu per satu.
CMF Buds 2 Plus merupakan model paling premium dalam kalangan tiga yang diumumkan. Walaupun begitu, harga jualan RM229 masih berada dalam kategori mampu milik. Fon telinga ini dilengkapi dengan sokongan Hi-Res LDAC untuk kualiti audio yang lebih baik. Ia juga menyokong tetapan EQ penuh melalui aplikasi Nothing X, membolehkan pengguna melaras audio mengikut citarasa masing-masing. CMF Buds 2 Plus ditawarkan dalam warna Biru dan Kelabu Cerah, dan dijual secara eksklusif secara atas talian.

Sumber Gambar: CMF by Nothing
Beralih ke pilihan pertengahan, CMF Buds 2 berada di tengah-tengah senarai. Dengan harga RM199, perbezaannya tidak begitu besar dari model Plus. Buds 2 hadir dengan Dirac Opteo tuning, serta ANC hibrid 48dB dan Audio Spatial untuk pengalaman mendengar yang lebih halus. Ia tersedia dalam warna Kelabu Gelap, Hijau Muda, dan Oren, dan boleh didapati secara dalam talian serta di kedai rakan kongsi rasmi.

Sumber Gambar: CMF by Nothing
Akhir sekali, CMF Buds 2a ialah pilihan paling mampu milik dalam barisan ini. Menurut CMF, ini adalah model asas yang sesuai untuk pengguna baru. Ia hadir dengan pemacu bio-fibre 12.4mm, serta ANC 42dB untuk menapis bunyi luar. CMF Buds 2a dijual pada harga RM159, dan ditawarkan dalam warna Kelabu Gelap, Kelabu Cerah, dan Oren.

Sumber Gambar: CMF by Nothing
CMF Buds 2 Plus, Buds 2, dan Buds 2a kini dibuka untuk pra-tempahan. Barisan fon telinga ini akan mula dijual secara rasmi bermula 6 Mei 2025.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

