Laman Utama / Gajet / ASUS Fragrance Mouse pastikan anda tak perlu lagi berdepan dengan tetikus berbau

ASUS Fragrance Mouse pastikan anda tak perlu lagi berdepan dengan tetikus berbau


By Editor Mei 19, 2025
ASUS Fragrance Mouse

Tetikus anda berbau? Kami tak mahu tahu sebabnya. Tapi tak mengapa, ASUS Fragrance Mouse mungkin penyelamat ruang kerja anda yang tertutup itu.

Kalau anda tertanya-tanya apa sebenarnya Fragrance Mouse ini — ya, ia memang tetikus yang berbau wangi. ASUS tampil dengan inovasi 2-dalam-1: tetikus dan penyebar aroma. Namun, sistem ini tidak menggunakan teknologi yang kompleks seperti pada diffuser konvensional. Maksudnya, tiada elemen pemanas atau wap; sebaliknya bau harum dilepaskan secara perlahan-lahan sepanjang masa.

Kotak tetikus wangi ASUS Fragrance Mouse

Untuk menjayakan fungsi ini, tetikus ini dilengkapi ruang khas dengan botol kecil untuk minyak pati atau wangian pilihan anda. Botol ini boleh diisi semula dan terletak tepat di bawah ruang bateri. Anda akan terus melihatnya sebaik sahaja penutup bawah dibuka.

ASUS Fragrance Mouse

Berdasarkan pengalaman ringkas kami, haruman dari tetikus ini memang boleh dihidu dengan jelas. Ia mungkin tidak menyebar ke seluruh bilik seperti penyebar aroma biasa, tetapi hidung anda pasti dapat menghidu bau apabila berada dekat dengan tetikus ini.

Anda bebas memilih wangian kegemaran untuk dimasukkan ke dalam botol itu. Namun, ASUS turut menyarankan beberapa jenama dari Aesop, Hooga, Muji, The Body Shop, dan bahkan Daiso.

Tetikus wangi ASUS Fragrance Mouse

Reka bentuk tetikus ini juga ergonomik, dengan sokongan ibu jari yang melengkung. Ia menyokong dua mod sambungan: melalui wayarles 2.4GHz atau Bluetooth, serta mempunyai tahap DPI boleh laras iaitu 1200dpi, 1600dpi, dan 2400dpi. ASUS mendakwa jangka hayat klik untuk tetikus ini adalah sehingga 10 juta kali klik.

ASUS Fragrance Mouse akan dijual pada harga RM169 dan boleh didapati di semua pengedar sah ASUS mulai Jun 2025. Ia hadir dalam dua warna: Rose Clay dan Iridescent White.

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!