Laman Utama / Gaya Hidup / Xiaomi Mulakan Pengeluaran Besar-Besaran Cip Xring O1 Buatan Sendiri

Xiaomi Mulakan Pengeluaran Besar-Besaran Cip Xring O1 Buatan Sendiri


By Editor Mei 21, 2025
Xiaomi Xring O1

Xiaomi telah memulakan pengeluaran besar-besaran cip mudah alih Xring O1 yang dibangunkan sendiri, menurut pengasasnya Lei Jun. Menerusi akaun peribadinya di Weibo, Lei Jun menyatakan bahawa dua produk pertama yang akan menggunakan cip Xring O1 ialah telefon pintar Xiaomi 15S Pro dan tablet Xiaomi Pad 7 Ultra.

Xiaomi kini menjadi jenama telefon pintar keempat di dunia yang membangunkan cip SoC sendiri, selepas Apple (Apple Silicon), Samsung (Exynos), dan HUAWEI (Kirin).

Cip Xring O1 dibina menggunakan teknologi 3nm terkini daripada TSMC, dan dibangunkan berasaskan seni bina ARM. Xiaomi dilaporkan telah melabur sebanyak 13.5 bilion yuan ($1.87 bilion) dalam pembangunan cip ini, dan bersedia untuk melabur sekurang-kurangnya 50 bilion yuan lagi ($6.9 billion) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Masih awal untuk membuat kesimpulan, namun kebocoran markah penanda aras Xring O1 sudah mula muncul, dengan kebanyakan skor menunjukkan prestasi yang setanding dengan Snapdragon 8 Elite – cipset terpantas keluaran Qualcomm setakat ini. Seperti dilaporkan oleh SamMobile, satu keputusan Geekbench 6 yang bocor menunjukkan Xring O1 memperoleh 3,119 mata dalam ujian CPU single-core dan 9,673 mata dalam ujian multi-core.

Skor Geekbench 6 yang dipercayai milik cip Xring O1

Pada asalnya, prestasi Xring O1 dijangka setaraf dengan Snapdragon 8 Gen 2. Namun begitu, persepsi kini mula berubah susulan kebocoran skor penanda aras terbaharu ini.

Sumber: [1] Channel News Asia, [2] SamMobile

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!