Terfikir Nak Beli Osmo 360? Ini 3 Kamera 360 Lain yang Mungkin Lebih Sesuai

Kamera 360 darjah semakin maju dari tahun ke tahun, dan model terkini tahun ini menjadikan pengalaman merakam lebih menyeronokkan — tak kira sama ada untuk aksi lasak, kenangan semasa melancong, atau untuk kandungan media sosial yang lebih interaktif.
Baru-baru ini, DJI memperkenalkan kamera 360 pertamanya, iaitu Osmo 360, dan ia sudah pun menarik perhatian ramai dengan keupayaan rakaman 8K serta sensor 1 inci yang hebat. Tapi, walaupun menarik, Osmo 360 bukan satu-satunya pilihan yang ada di pasaran. Jika anda sedang meneliti pilihan lain sebelum membuat keputusan, berikut adalah tiga alternatif menarik yang masing-masing hadir dengan kelebihan tersendiri.
1) Insta360 X5

Kalau anda mahukan kamera 360 yang lengkap dengan ciri-ciri hebat dan serba boleh, Insta360 X5 adalah antara pilihan terbaik. Ia menggunakan dua sensor 1/1.28” dan mampu merakam video 8K 360° pada 30fps, atau 5.7K pada 60fps dengan Active HDR — sesuai untuk babak pantas atau perubahan cahaya yang kerap. Selain rakaman penuh 360, ia juga boleh merakam video biasa dengan mod 4K/60fps pandangan pertama, serta mod MaxView ultra lebar pada 4K/30fps dengan sudut pandangan 170 darjah.
Imej pegun juga tidak kurang hebatnya, menghasilkan foto 360° yang sangat tajam dengan resolusi 72MP. Kamera ini turut tahan lasak, dengan jangka hayat bateri sehingga 208 minit, dan kalis air sehingga 15 meter tanpa casing (dan boleh mencapai 60 meter dengan Invisible Dive Case tambahan).

Satu lagi kelebihan Insta360 X5 adalah aplikasi pintar yang disediakan. Aplikasi ini menawarkan pelbagai fungsi seperti AI Frame (pilih babak terbaik secara automatik), Shot Lab (untuk suntingan kreatif seperti AI Warp dan Fly Lapse), dan Dewarp (untuk membetulkan herotan pada sudut lebar dengan hanya satu sentuhan) — sangat berguna untuk rakaman landskap atau seni bina.
Pakej Standard Bundle dijual pada harga sekitar RM2,499 di Malaysia, dan boleh didapati di kedai rasmi Shopee Insta360 serta pengedar sah seperti Switch.
2) GoPro Max 360

GoPro Max 360 mungkin bukan model paling baharu di pasaran, tetapi masih kekal sebagai pilihan serba boleh — lebih-lebih lagi jika anda sudah berada dalam ekosistem GoPro. Kamera ini merakam video 360° pada resolusi 5.6K, manakala sistem enam mikrofon memberikan kualiti audio antara yang terbaik untuk kamera 360°, lengkap dengan pengurangan bunyi angin yang baik. Bagi mereka yang gemar merakam aksi atau kandungan gaya vlog, terdapat ciri penjejakan objek untuk memastikan subjek sentiasa dalam fokus. Selain itu, pilihan lensa digital terbina dalam seperti Narrow, Linear, Wide dan Max SuperView — membolehkan anda menukar sudut rakaman dengan mudah, mengikut keperluan.

GoPro Max juga boleh merakam video biasa pada resolusi 1440p, dan hadir dengan ciri CameraFX untuk menambah efek menarik seperti Spin, Flip, Roll atau Wobble — semuanya boleh dilakukan terus dalam kamera tanpa perlu suntingan tambahan. Ia juga tahan lasak, kalis air hingga 5 meter, dan boleh digunakan dalam suhu serendah -10°C dengan bantuan bateri Enduro 1,600mAh yang tahan dalam cuaca sejuk. Fungsi kawalan suara turut disediakan untuk rakaman bebas tangan.
Di Malaysia, GoPro Max 360 dijual pada harga bermula dari RM1,799, dan boleh dibeli menerusi kedai rasmi Shopee GoPro.
3) Akaso 360

Bagi anda yang ingin berjinak-jinak dengan rakaman 360, atau sedang mencari pilihan yang lebih mesra bajet tanpa mengorbankan fungsi penting, Akaso 360 adalah pilihan yang patut dipertimbangkan. Dengan harga sekitar RM999 untuk pakej Standard Combo, ia sesuai untuk penggunaan biasa atau untuk hobi — tapi prestasinya tetap mengagumkan. Ia mampu merakam video 5.7K 360° serta gambar 72MP, menjadikannya sesuai untuk kandungan media sosial, vlog perjalanan, atau projek kreatif.

Kamera ini juga menyokong fungsi reframing, di mana anda boleh pilih sudut pandangan selepas rakaman dibuat. Walaupun pada harga bajet, ia masih menawarkan 360° Horizon Lock untuk rakaman yang stabil, serta penjejakan subjek berasaskan AI untuk hasil yang lebih kemas. Untuk kesan visual menarik, terdapat preset terbina seperti Inception-Style Spin, Horizon Hop, dan Through the Time Tunnel yang boleh digunakan terus dari kamera.
Satu tambahan menarik ialah paparan statistik terbina dalam, yang menunjukkan data seperti lokasi GPS, jarak yang dilalui, sudut condong, dan ketinggian — sangat berguna bagi pengembara dan penunggang basikal. Skrin sentuh 2.29” pula menjadikan kamera ini lebih mudah digunakan, walaupun untuk pemula.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

