Laman Utama / Gajet / Telefon Trump T1 Kelihatan Seperti iPhone Tiruan Yang Teruk

Telefon Trump T1 Kelihatan Seperti iPhone Tiruan Yang Teruk


By Editor Jun 20, 2025

Adakah Donald J. Trump Presiden AS pertama yang melancarkan telefon pintar? Mungkin. Adakah telefon itu bagus? Kemungkinan besar tidak.

Dalam keadaan dunia yang sedang bergolak dengan konflik global dan peluru berpandu berterbangan di kawasan sensitif, bilionair yang kini memegang tampuk kuasa sebagai pemimpin negara paling berpengaruh di dunia nampaknya ada urusan lain yang lebih penting… seperti melancarkan telefon baharu Trump T1.

Trump T1 Phone, telefon pintar terbaharu keluaran syarikat milik persendirian Donald Trump – The Trump Company – adalah satu produk yang menimbulkan banyak persoalan. Rekaan kameranya kelihatan menyerupai model iPhone Pro, tetapi saiz lensanya jauh lebih kecil. Jika anda tidak terbiasa, anda mungkin menyangka ianya sebuah telefon tiruan yang dibeli dari laman seperti Temu—sesuatu yang ironi, memandangkan Trump cukup lantang menentang segala perkara berkaitan China.

Lebih mengelirukan, helaian spesifikasi telefon ini dipenuhi kesilapan. Misalnya, bahagian ‘Pemproses & RAM’ hanya menyenaraikan 12GB RAM—tetapi ia diletakkan di bawah kolum ‘Storan’. Sementara itu, bahagian ‘Memori’ pula menyatakan peranti mempunyai storan 256GB.

Selain itu, telefon ini dilengkapi skrin AMOLED 6.8 inci dengan rekaan punch-hole, kadar segar semula 120Hz, dan bicu fon kepala 3.5mm. Untuk kamera, laman web menyatakan ia mempunyai kamera utama 50MP dan dua kamera tambahan 2MP, manakala kamera hadapan pula beresolusi 16MP. Bateri berkapasiti 5,000mAh disertakan bersama pengecasan PD 20W.

Walaupun kelihatan seperti iPhone, ia sebenarnya dijalankan dengan sistem Android 15.

Harga Trump T1 Phone ialah USD499, bersamaan lebih kurang RM2,119.50.

Pelan 47

Selain telefon, The Trump Company turut memperkenalkan Pelan 47, iaitu pelan servis mudah alih yang berharga USD47.45 sebulan. Untuk konteks, Donald Trump adalah Presiden ke-45 dan ke-47 Amerika Syarikat—maka dari situlah datangnya harga pelik ini.

Pelan ini menawarkan manfaat biasa seperti panggilan tanpa had, SMS tanpa had, dan data tanpa had (dengan 20GB pertama pada kelajuan tinggi). Ia juga mendakwa akan menyediakan akses 24/7 kepada perkhidmatan kesihatan jarak jauh melalui video atau panggilan telefon, walaupun tidak dijelaskan bagaimana perkhidmatan ini disediakan.

Pelan ini turut menyertakan panggilan antarabangsa ke lebih 100 destinasi—termasuk Malaysia, Singapura dan Thailand.

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!