Telefon Tri-Lipat Pertama Samsung Dijangka Dilancarkan Oktober Ini — Ini Apa yang Kami Tahu Setakat Ini

Ianya bukan lagi rahsia bahawa telefon tri-lipat Samsung sedang dibangunkan sejak sekian lama. Malah, Samsung sendiri pernah memberi bayangan tentang pelancaran telefon tri-lipat ini pada awal tahun ini menerusi paparan lakaran digital di acara Galaxy Unpacked Januari lalu.

Walaupun ada yang berharap telefon ini akan dilancarkan bersama Galaxy Z Fold dan Z Flip, perkara itu ternyata tidak berlaku. Namun begitu, penantian ini nampaknya hampir berakhir, apabila khabar angin mengatakan bahawa Samsung bakal melancarkan telefon tri-lipat pertamanya pada bulan Oktober tahun ini. Perkara ini dikongsikan oleh pembocor maklumat terkenal Samsung, Ice Universe, melalui akaun Weibo miliknya.

Maklumat tentang telefon ini masih terhad, malah tiada siapa yang dapat mengesahkan nama model rasminya. Ada kemungkinan ia akan dinamakan ‘Galaxy Z TriFold’, selaras dengan barisan peranti lipat Galaxy Z yang sedia ada.
Menyokong spekulasi itu, laman SamMobile (menerusi Galaxy Club) melaporkan bahawa Samsung telah memohon cap dagang untuk istilah ‘Galaxy Z TriFold’. Walau bagaimanapun, langkah ini mungkin sekadar amalan industri bagi melindungi nama model yang berpotensi. Malah, ada kemungkinan nama ini tidak akan digunakan langsung.

Sebelum nama ‘Galaxy Z TriFold’ timbul, terdapat khabar angin bahawa telefon ini akan dipanggil ‘Samsung G Fold’. Namun, idea itu nampaknya semakin tenggelam, dan nama di bawah konvensyen ‘Z’ kelihatan lebih sesuai dengan katalog semasa Samsung.
Walaupun belum disahkan, maklumat bocor dari Android Authority menunjukkan bahawa reka bentuknya mungkin menampilkan engsel berganda yang melipat ke dalam — di mana kedua-dua skrin kiri dan kanan akan dilipat ke arah tengah, bertindih antara satu sama lain.


Ini berbeza dengan HUAWEI Mate XT yang menggunakan satu engsel ke dalam dan satu ke luar — panel kiri dilipat ke dalam, manakala panel kanan ke luar, membentuk struktur lipatan berbentuk ‘Z’. Berdasarkan pengalaman langsung kami dengan Mate XT, ianya cukup mengagumkan, dan menarik untuk melihat sama ada versi tri-lipat Samsung boleh menyaingi standard tersebut. Mate XT kini merupakan satu-satunya telefon tri-lipat yang dijual secara komersial, dengan harga mencecah RM14,999 di Malaysia.
Bercakap tentang itu, Ice Universe juga mendakwa bahawa tri-lipat generasi kedua HUAWEI mungkin akan dilancarkan seawal September — sebulan lebih awal daripada Samsung.
Sumber: [1] Ice Unvierse via Weibo, [2] SamMobile, [3] Android Authority
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

