Sedang mencari telefon pintar bajet seterusnya? Kami sedia membantu. Dalam pasaran yang dipenuhi dengan pelbagai pilihan telefon pintar, adalah wajar untuk anda memilih peranti yang sesuai dengan tahap kewangan anda. Lagipun, adakah anda benar-benar memerlukan semua ciri mewah yang yang ditawarkan oleh model premium?
Kadangkala, pilihan terbaik adalah yang tidak membebankan kewangan anda.
Di Malaysia, kita bernasib baik kerana mempunyai pelbagai pilihan peranti mesra bajet – termasuk yang menyokong rangkaian 5G. Berikut adalah telefon pintar terbaik yang boleh anda dapati di Malaysia dengan harga bawah RM1,000 pada tahun 2025.
Mungkin ramai yang tidak sedar, tetapi ASUS baru sahaja menceburi pasaran komputer riba khusus untuk perniagaan melalui siri ExpertBook. ASUS sememangnya terkenal dengan komputer riba berprestasi tinggi, terutamanya menerusi siri Zenbook dan ProArt.
Dengan siri ExpertBook – lebih khusus lagi, ExpertBook P5 (P5405) – anda bakal mendapat pelbagai ciri AI yang difokuskan untuk kerja melalui aplikasi AI ExpertMeet yang telah dipasang siap. Lebih menarik lagi, ExpertBook P5 juga merupakan PC Copilot+, yang bermaksud anda akan mendapat satu lagi set ciri AI yang boleh diakses dengan hanya menekan butang Copilot khas.
Ya, AI sememangnya menjadi teras utama fungsi komputer riba ini, yang secara teori harus memudahkan dan melancarkan kerja pengguna (saya akan berkongsi pengalaman saya mengenainya nanti). Selain AI, komputer riba ini juga menampilkan perkakasan yang berkualiti tinggi untuk memenuhi keperluan tenaga kerja moden.
Kami tidak ragu bahawa ExpertBook P5 akan memberikan prestasi yang cemerlang. Namun, dengan harga yang agak tinggi iaitu RM6,859, persoalannya adalah: adakah ia berbaloi?
Satu perkara yang perlu ada pada komputer riba perniagaan ialah ringan, dan ASUS telah melakukannya dengan baik. Ia bukanlah model 14 inci paling ringan dalam siri ExpertBook, kerana gelaran itu dimiliki oleh ExpertBook B9 OLED yang hanya seberat 990g.
Namun, dengan berat 1.27kg, ExpertBook P5 masih tergolong dalam kategori mudah alih, menjadikannya pilihan sesuai untuk profesional di pejabat dan mereka yang sering bergerak. Walaupun ringan, komputer riba ini tidak rapuh, memandangkan ia telah lulus ujian ketenteraan MIL-STD-810H. Ia mampu menahan hentakan kecil serta perubahan suhu yang tidak dijangka, tetapi sudah tentu tidak boleh digunakan sebagai alat melepaskan kemarahan ketika menerima e-mel yang mnegecewakan.
Dari segi estetika, ia kelihatan profesional dan minimalis. Penutup logamnya yang bersih, dengan lencana ASUS EXPERTBOOK yang terukir rapi di bahagian luar pusat, menampakkan ia seolah-olah seperti belahan rambut yang tersusun rapi.
Paparan
Perkara pertama yang perlu anda tahu – tiada paparan OLED di ExpertBook P5, tidak seperti yang terdapat dalam siri ZenBook dan ProArt. Jika anda bekerja dalam bidang yang memerlukan paparan berkualiti tinggi, mungkin lebih baik untuk anda memilih model daripada siri tersebut.
Walau bagaimanapun, anda sebenarnya tidak perlu terlalu menumpukan perhatian kepada paparan bagi komputer riba korporat seperti ini. ExpertBook P5 menawarkan skrin 14” yang selamat dan standard dengan resolusi WQXGA (2560×1600) dalam nisbah aspek 16:10.
Dari segi kualiti, ia mempunyai ketepatan warna 100% sRGB, tetapi dengan kecerahan 400 nits, ia bukan pilihan paling optimum untuk penggunaan di luar. Namun, dalam persekitaran pejabat atau kafe yang teduh, paparan ini sudah tentu bakal berfungsi dengan baik.
Satu ciri yang mungkin berguna semasa mesyuarat berkumpulan atau berpasukan ialah engsel fleksibel 180 darjah, yang membolehkan komputer riba ini dibuka sepenuhnya dan diletakkan rata di atas permukaan meja.
Pemproses
ASUS ExpertBook P5 dikuasakan oleh pemproses Intel Core Ultra 7 258V dan GPU Intel Arc. Varian yang kami uji dilengkapi dengan 32GB RAM LPDDR5X serta storan SSD 1TB. Seperti yang disebutkan sebelum ini, ASUS melabur besar dalam teknologi AI, yang bermaksud ExpertBook P5 turut dilengkapi dengan Unit Pemprosesan Neural (NPU) untuk mengendalikan fungsi AI.
Inilah yang menjadi tumpuan utama kami, terutamanya aplikasi ASUS AI ExpertMeet yang telah ditekankan oleh ASUS bagi siri ini.
ASUS AI ExpertMeet
Secara ringkas, aplikasi AI ExpertMeet ialah pembantu pintar pada peranti ASUS yang direka untuk memudahkan urusan mesyuarat. Satu penafian penting: pada masa penulisan ini, aplikasi ini masih dalam fasa Beta. Walau bagaimanapun, kami berpeluang mengujinya sendiri untuk melihat sejauh mana keberkesanannya dalam situasi kerja sebenar.
Pada asasnya, AI ExpertMeet menawarkan tiga ciri utama: AI Meeting Minutes, AI Translated Subtitles, dan Watermark, yang akan kami terangkan satu persatu.
AI Meeting Minutes
Anda pasti tahu bagaimana setiap mesyuarat yang panjang dan berlarutan memerlukan seseorang untuk mencatat setiap topik penting yang dibincangkan, kemudian meringkaskannya dalam format yang mudah difahami? AI Meeting Minutes mengautomatikkan proses ini dengan menukar audio yang dirakam kepada teks.
Ia cukup mudah digunakan, bahkan rakan sekerja anda yang kurang mahir teknologi pun boleh mengendalikannya. Anda hanya perlu membuka aplikasi AI ExpertMeet, pergi ke tab AI Meeting Minutes, dan tekan butang rakam berwarna merah di bahagian kiri bawah. Setelah mesyuarat selesai, tekan butang henti rakaman, dan aplikasi ini akan menyalin semua perkara yang disebut sepanjang perbincangan.
Sebagai alternatif, anda juga boleh mengimport fail audio ke dalam aplikasi, dan ia akan menyalinnya untuk anda.
AI Meeting Minutes akan menyalin mana-mana fail audio yang anda muat naik ke dalam aplikasi.
Seperti semua ciri AI yang berkaitan dengan transkripsi, persoalan tentang ketepatan pasti timbul. Setelah mengujinya pada fail audio podcast, saya cukup kagum kerana ia memberikan ketepatan yang hampir sempurna. Memang ada beberapa perkataan yang ditranskripsi secara salah atau tidak dikesan langsung, tetapi bagi saya, itu hanyalah kesilapan kecil. Anda juga mempunyai pilihan untuk menyunting transkripsi sekiranya terdapat kesalahan yang anda dapati.
Anda boleh menyunting skrip minit mesyuarat dengan mudah untuk membuat pembetulan
Ada beberapa perkara lain yang saya rasa wajar diberi perhatian. Pertama, penggunaan Pengecaman Berbilang Penutur (Multiple Speaker Recognition) kebanyakannya sangat tepat. Ia mampu mengesan setiap penutur dan melabelkan mereka dengan ketepatan yang mengagumkan. Namun, ia akan lebih berkesan jika setiap penutur mempunyai suara yang jelas dan berbeza.
Ciri cap masa (timestamps) juga sangat berguna jika anda ingin meneliti sesuatu perkara dengan lebih mendalam atau mengira berapa kali anda telah disela.
Mungkin yang paling penting adalah fungsi Ringkasan (Summary), yang menyusun perbincangan dalam bentuk poin ringkas. Yang menarik, ia bukan sahaja meringkaskan keseluruhan mesyuarat tetapi juga menyediakan ringkasan mengikut penutur, merangkumi semua perkara utama yang dibangkitkan oleh setiap individu.
Ringkasan keseluruhan dari fail audioRingkasan setiap suara yang dikesan dalam fail audio
Secara keseluruhan, saya mempunyai tanggapan positif terhadap ciri ini. Walaupun masih dalam peringkat Beta, saya dapat melihat AI Meeting Minutes menjadi alat penjimatan masa yang banyak digunakan oleh PKS dan perniagaan kecil. Namun, bagi perbincangan korporat berisiko tinggi di mana kesilapan tidak boleh dibiarkan, mungkin ianya lebih baik untuk bergantung kepada manusia yang berpengalaman.
AI Translated Subtitles
AI Translated Subtitles adalah seperti namanya – ia menyediakan sarikata masa nyata untuk sebarang audio yang dikesan daripada mesyuarat syarikat atau kandungan anda, dengan pilihan untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa pilihan anda.
Secara teori, ia merupakan idea yang hebat, tetapi saya rasa pelaksanaannya masih memerlukan penambahbaikan, terutamanya dari segi kelajuan paparan sarikata. Ia kelihatan agak perlahan dan sering ketinggalan beberapa ayat di belakang. Saya faham bahawa jika anda menonton kandungan dalam bahasa asing, kelewatan ini mungkin tidak begitu ketara kerana anda sendiri tidak fasih dalam bahasa tersebut.
Sarikata AI cenderung menjadi perlahan, sering ketinggalan beberapa ayat di belakang
Namun, saya dapati bahawa walaupun untuk kandungan dalam Bahasa Inggeris, sarikatanya masih cenderung mengandungi kesilapan. Tanda baca juga sering tersasar jauh, serta kerap menambah noktah apabila pembesar suara sebenarnya hanya berhenti seketika. Ia menterjemah bahagian video yang baik dengan tepat, tetapi hanya jika penutur bercakap dengan sebutan dan nada seperti robot. Jika tidak, ianya akan menghadapi kesukaran untuk mentafsir sari kata.
Beberapa contoh sarikata yang diterjemah dengan salah
Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah Bahasa Malaysia yang masih belum disokong. Buat masa ini, ia hanya dapat mengesan Bahasa Inggeris, Cina Tradisional, Itali, Jerman, dan Portugis, dengan pilihan terjemahan ke dalam Bahasa Inggeris, Cina Tradisional, Cina Ringkas, Jepun, Perancis, Sepanyol, Itali, Jerman, dan Portugis.
Jika tiada satu pun bahasa ini yang relevan untuk anda, jangan risau – kemungkinan besar lebih banyak bahasa akan disokong apabila aplikasi ExpertMeet keluar daripada fasa Beta.
Watermark
Ciri seterusnya mungkin tidak begitu luar biasa, tetapi sudah pasti ianya tetap berguna. Fungsi Watermark, walaupun tidak dikuasakan oleh AI, boleh diaktifkan dalam aplikasi AI ExpertMeet.
Ia membolehkan anda memaparkan kad perniagaan maya dan maklumat hubungan semasa mesyuarat dalam talian, yang sangat berguna untuk pertemuan dengan klien baharu serta persidangan dalam talian. Sekurang-kurangnya untuk Google Meet, kad perniagaan ini akan disepadukan secara automatik ke dalam skrin. Jadi, mengaktifkan ciri Watermark dalam AI ExpertMeet juga akan menghidupkannya di Google Meet.
Selain itu, ciri Watermark turut menyediakan pilihan untuk meletakkan jalur tanda air yang besar merentasi paparan bagi mesyuarat yang sangat sulit dan berisiko dirakam skrin.
ASUS ExpertBook P5: Berbaloikah RM6K dengan Hype AI?
Harga yang tinggi tentunya hadir dengan harapan yang tinggi. Mengeluarkan lebih RM6,000 bukanlah keputusan yang dibuat secara santai, walaupun di bawah bajet syarikat, jadi ia perlu mempunyai justifikasi kukuh.
Tidak dapat dinafikan bahawa ASUS mempunyai visi yang baik dengan aplikasi AI ExpertMeet yang terbina dalam peranti ini. Malah, ciri seperti AI Meeting Minutes melebihi jangkaan saya dan mempunyai potensi besar untuk masa hadapan. Namun, dari sudut AI semata-mata, masih ada banyak aspek yang perlu diperhalusi sebelum saya benar-benar yakin dengan visi ‘AI-driven’ ini.
Sentimen ini bukan hanya terhad kepada ASUS. Di mana-mana sahaja, jenama-jenama lain turut berlumba-lumba mempromosikan ‘AI PC’, menjanjikan ciri AI yang kononnya memudahkan hidup, sedangkan kebanyakannya masih belum matang sepenuhnya.
Di luar aspek AI, ASUS ExpertBook P5 tetap menawarkan perkakasan yang cemerlang, selain ciri keselamatan bertaraf komersial seperti TPM 2.0 dan Kensington Nano Security Slot, menjadikannya pilihan kukuh jika anda memerlukan perlindungan tahap tinggi untuk kerja anda.
Kesimpulan saya? Jika anda benar-benar ingin membeli kerana hype AI, saya cadangkan tunggu keluaran akan datang apabila ciri AI lebih matang. Tetapi jika anda lebih mengutamakan prestasi perkakasan atau mudah alih, ini adalah pilihan premium yang kukuh dan boleh dipercayai.