Telefon Kompak 6.3 Inci vivo Mungkin Bakal Tiba di Malaysia

Sebuah telefon baharu siri vivo X hampir pasti akan dilancarkan selepas ia dikesan dalam pangkalan data SIRIM. vivo X200 FE dipercayai merupakan varian kompak jenama tersebut, dengan kebocoran maklumat mendakwa ia akan menampilkan paparan OLED 6.31″ bersama resolusi 1.5K dan kadar segar semula 120Hz.
Memandangkan ini ialah model ‘lite’ dalam siri X200, ia tidak dijangka hadir dengan spesifikasi setaraf model flagship dalam siri yang sama. Sebagai contoh, X200 FE tidak akan menggunakan cip Dimensity 9400, sebaliknya akan dijana oleh Dimensity 9400e.
Dari segi kamera, X200 FE bakal mengekalkan susunan kamera utama yang hampir sama dengan model X200. Anda akan mendapat kamera utama 50MP Sony IMX921 dan telefoto Sony IMX882 dengan zum optik 3x. Perbezaan ketara hanya pada lensa ultra lebar di mana X200 FE hadir dengan lensa 8MP, berbanding 50MP pada X200.

Namun begitu, tidak semua cirinya mengalami pengurangan. X200 FE dijangka hadir dengan bateri sebesar 6,500mAh, peningkatan berbanding 6,000mAh pada X200 dan X200 Pro. Kuasa pengecasan masih kekal pada 90W.
vivo X200 FE dengan saiz 6.3 inci bakal menyertai segmen eksklusif telefon premium bersaiz kecil di Malaysia. Ia akan bersaing rapat dengan beberapa model utama seperti Galaxy S25 (6.2″), iPhone 16 (6.1″) dan Xiaomi 15 (6.36″).
Kamera X200 Pro benar-benar mengagumkan kami ketika dibandingkan dengan Galaxy S24 Ultra. Dengan pelancaran X200 FE yang semakin hampir, mungkin ia akan memberi saingan hebat kepada Galaxy S25 juga.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

