Taobao Malaysia akan melancarkan antara muka Bahasa Malaysia menjelang Jun 2025

Taobao Malaysia telah mengumumkan rancangan untuk melancarkan antara muka dalam Bahasa Malaysia bagi aplikasinya menjelang Jun 2025. Menurut Taobao, ini adalah sebahagian daripada usaha penyesuaian tempatan untuk menyokong peningkatan populariti aplikasi itu dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dalam satu kenyataan, platform e-dagang itu menyatakan bahawa setakat 16 April 2025, Taobao adalah aplikasi kedua paling banyak dimuat turun dalam carta aplikasi membeli-belah iOS di Malaysia, menunjukkan minat dan kepercayaan yang tinggi terhadap platform tersebut.
Ketua Taobao Malaysia, Jess Lew menambah bahawa antara muka Bahasa Malaysia akan menjadikan aplikasi itu lebih mudah diakses dan mesra pengguna untuk rakyat Malaysia. “(Ianya) mengukuhkan komitmen platform kami untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih mudah, lancar dan bebas kerisauan kepada setiap pengguna di Malaysia,” katanya.

Taobao ialah platform e-dagang dari China yang beribu pejabat di Hangzhou, China. Ia memperkenalkan antara muka dalam Bahasa Inggeris pada September 2024, yang mungkin menjelaskan kepada peningkatan popularitinya dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Selain antara muka Bahasa Inggeris, aplikasi ini juga menyokong terjemahan yang dikuasakan oleh AI dan bantuan khidmat pelanggan dalam Bahasa Inggeris dan Cina.
“Dengan penerangan produk dalam Bahasa Inggeris, harga yang dipaparkan dalam ringgit, serta antara muka yang lebih ringkas, pengguna Malaysia kini boleh melayari dan membeli-belah dengan lebih mudah daripada sebelum ini,” jelas Taobao Malaysia.
Sumber: [1] Bernama
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

