Suunto perkenal fon kepala konduksi tulang kalis air Aqua Light

Suunto telah memperkenalkan fon kepala konduksi tulang terbarunya yang kalis air, Suunto Aqua Light. Ia merupakan tambahan terkini dalam katalog fon kepala konduksi tulang Suunto yang sedang berkembang, termasuk model Suunto Wing dan Suunto Sonic.
Namun begitu, Aqua Light adalah yang pertama dalam rangkaian ini yang menawarkan ciri kalis air sepenuhnya, menjadikannya sesuai untuk aktiviti sukan air. Berbeza dengan siri Wing dan Sonic yang masing-masing memiliki penarafan IP67 dan IP55, Aqua Light dilengkapi dengan penarafan IP68. Menurut Suunto, ini bermakna fon kepala tersebut boleh direndam hingga dua meter selama maksimum dua jam.

Walaupun Aqua Light menyokong sambungan Bluetooth, ia juga hadir dengan storan terbina sebesar 32GB sebagai alternatif. Pengguna boleh memuat naik sehingga 8,000 lagu, buku audio, atau podcast daripada platform seperti Amazon dan Apple Music. Kandungan audio juga boleh diurus melalui aplikasi Suunto.
Dari segi hayat bateri, pengguna boleh menikmati sehingga 10 jam waktu main balik dengan satu cas penuh. Suunto turut menyatakan bahawa fon kepala ini boleh dicas sepenuhnya dalam masa satu jam. Bagi 10 minit pengecasan, ia boleh memberikan sehingga tiga jam penggunaan.

Suunto Aqua Light dijual pada harga RM699 di Malaysia, dan tersedia dalam dua pilihan warna: Tidal Black dan Reef Blue.
Bagi yang berminat, fon kepala ini boleh dibeli melalui platform rasmi Suunto di Shopee, Lazada, dan TikTok Shop. Ia juga boleh didapati di kedai pengedar terpilih seperti Solar Time, Y Sandal, LM Sport, dan Syscom.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!