Laman Utama / Gaya Hidup / Starlink Perkenal Pelan Residential Lite Yang Kini Mampu Dimiliki

Starlink Perkenal Pelan Residential Lite Yang Kini Mampu Dimiliki


By Editor Mei 26, 2025

Jika anda selalu menganggap pelan Starlink Residential terlalu mahal, anda mungkin akan gembira mengetahui bahawa penyedia internet ini kini menawarkan pelan Residential Lite yang jauh lebih mampu milik. Pelan Residential Lite hanya berharga RM129/sebulan, jauh lebih mesra bajet berbanding RM220/sebulan untuk pelan Residential standard.

Walaupun Starlink tidak menetapkan had data atau had kelajuan untuk pelan Lite, ia hadir dengan kelajuan yang lebih rendah. Menurut laman rasmi, pelan Lite mempunyai kelajuan muat turun biasa antara 45 hingga 130Mbps, manakala kelajuan muat naik adalah antara 10 hingga 20Mbps.

Satu lagi kekangan ialah pengguna pelan Lite akan diberi keutamaan yang lebih rendah pada waktu puncak bagi memastikan pengguna pelan standard menerima perkhidmatan optimum. Ini bermakna, pengguna Lite mungkin mengalami kelajuan lebih perlahan apabila ramai pengguna aktif serentak.

Starlink memberi jaminan bahawa pengguna boleh menaik taraf ke pelan Residential standard pada bila-bila masa.

Sekiranya anda pengguna baharu Starlink, perlu diingat bahawa anda perlu membeli Standard Kit V4 untuk mengakses perkhidmatan Starlink. Kit ini berharga RM1,600 di Malaysia, dan boleh dibeli di pengedar sah seperti Senheng, iTworld, Gloo, Thunder Match, dan lain-lain.

Sumber: [1] Starlink Official Website

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!