Siri nubia Neo 3 5G kini rasmi di Malaysia; Harga bermula RM999 dengan butang bahu untuk gaming

Bagi mereka yang sedang mencari telefon pintar gaming yang berpatutan, siri Neo 3 terkini daripada nubia patut diberi perhatian. Siri ini – yang terdiri daripada Neo 3 5G dan Neo 3 GT 5G – direka khas untuk para gamer dengan estetika siber yang agresif dan antara muka AI Game Space 3.0 yang dipertingkatkan.
Bermula dengan nubia Neo 3 5G, model asas ini menampilkan panel belakang dwitona yang dihiasi dengan lampu RGB. Ia ditawarkan dalam tiga rekaan: Shadow Black, Cyber Silver, dan Titanium Gold. Telefon ini dijana oleh pemproses Unisoc T8300, dengan satu konfigurasi iaitu 8GB RAM dan 256GB storan.

Menepati identitinya sebagai telefon gaming, ia menampilkan butang bahu, yang boleh dipetakan oleh pengguna untuk kawalan tambahan. Selain itu, paparannya bersaiz 6.8″ FHD (2030×900) dengan kadar segar semula 120Hz, memberikan pengalaman permainan yang memuaskan. Ia dikuasakan oleh bateri 6,000mAh dengan pengecasan berwayar 33W.
Speaker stereo dwi yang dipertingkatkan dengan DTS:X Ultra turut menjadi bonus menarik. Untuk fotografi, telefon ini hadir dengan tetapan 50MP + 2MP untuk kamera belakang, dan 16MP untuk kamera swafoto. Ia juga mempunyai penarafan IP54 untuk perlindungan asas.

Bagi model nubia Neo 3 GT 5G pula, ia menawarkan beberapa penambahbaikan utama yang menjelaskan sebab harganya yang sedikit lebih tinggi. Dari segi estetik, anda bukan sahaja mendapat lampu RGB, tetapi juga LED mini yang menghiasi panel belakang. Telefon ini hadir dalam dua rekaan: Electro Yellow dan Interstellar Grey. Tambahan pula, ia dijana oleh pemproses Unisoc T9100 6nm 5G dan hadir dengan konfigurasi 12GB RAM dan 256GB storan.

Seperti dijangka, varian GT mempunyai paparan yang lebih baik dengan panel OLED 6.8″, yang menawarkan resolusi FHD+ (1080×2392) dan kadar segar semula 120Hz. Ia turut menawarkan 100% gamut warna DCI-P3 dan kecerahan maksimum 1,300nits.
Anda masih akan menemui butang bahu di sini, bersama speaker stereo dwi yang dipertingkatkan dengan DTS:X Ultra. Menambah pengalaman permainan ialah sistem VC 4,083mm² yang membantu mengawal haba.

Walaupun varian GT mempunyai bateri 6,000mAh yang sama, namun ia menyokong pengecasan berwayar yang jauh lebih pantas iaitu 80W berbanding Neo 3 5G. Tetapan kameranya juga sama, dengan gabungan 50MP + 2MP di belakang dan kamera hadapan 16MP. Ia turut membawa penarafan IP54 untuk rintangan habuk dan air.
Harga Siri nubia Neo 3 di Malaysia
Siri nubia Neo 3 kini boleh dibeli di Malaysia. nubia Neo 3 5G (8GB+256GB) berharga RM999, manakala nubia Neo 3 GT 5G (12GB+256GB) berharga RM1,199.
Terdapat promosi pembeli awal jika anda membeli dari Shopee. Tidak kira model mana yang anda beli, telefon ini akan disertakan dengan kotak hadiah percuma bernilai RM149, yang mengandungi sarung telefon magnetik, penyejuk telefon magnetik, dan banyak lagi.


Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

