Laman Utama / Gajet / Siri Samsung Galaxy S25 Dilancarkan; Harga di Malaysia Bermula RM3,999

Siri Samsung Galaxy S25 Dilancarkan; Harga di Malaysia Bermula RM3,999


By Alyaa Najwa Januari 23, 2025
Samsung Galaxy S25 Series

Acara Galaxy Unpacked Samsung yang berlangsung menyaksikan pelancaran siri flagship Galaxy S25, iaitu Galaxy S25, Galaxy S25+, dan Galaxy S25 Ultra.

Tahun ini, siri terbaru ini hadir dengan perubahan perkakasan yang minimum berbanding pendahulunya, dengan Samsung lebih menumpukan pada inovasi melalui Galaxy AI. Namun, tidak seperti tahun lalu di mana model asas dan Plus menggunakan cip Exynos, semua model dalam siri Galaxy S25 kini dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite.

Galaxy S25 dan S25+

Galaxy S25 dan Galaxy S25+ mengekalkan bentuk yang serupa dengan model sebelumnya. Galaxy S25 dilengkapi skrin 6.2″ Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi Full HD+, kadar segar semula 120Hz, dan perlindungan Gorilla Glass Victus 2. Sementara itu, Galaxy S25+ hadir dengan skrin lebih besar 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, kadar segar semula 120Hz, dan resolusi Quad HD+. Skrinnya juga dilindungi oleh Gorilla Glass Victus 2.

Galaxy S25 dan S25+

Bateri untuk kedua-dua peranti ini kekal sama seperti tahun lalu, iaitu bateri 4,000mAh untuk S25 dan 4,900mAh untuk S25+. Kedua-duanya menyokong pengecasan masing-masing pada kadar 25W dan 45W.

Kamera pada kedua-dua model juga tidak berubah, dengan susunan kamera yang terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera telefoto 10MP dengan zum optikal 3x, dan kamera ultra-lebar 12MP. Kamera swafoto di hadapan pula adalah 12MP.

Dari segi reka bentuk, Galaxy S25 Ultra menampilkan perubahan yang paling ketara, walaupun ia masih bersifat minimal. Samsung kini memilih sudut yang lebih bulat berbanding tepi yang tajam sebelum ini.

Galaxy S25 Ultra

Skrinnya tetap berukuran 6.9″ Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi Quad HD+ dan kadar segar semula 120Hz. Untuk perlindungan, Samsung memperkenalkan Gorilla Glass Armor 2 yang baharu.

Sistem kamera juga tidak berubah, dengan S25 Ultra mengekalkan kamera utama 200MP, kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 5x, kamera telefoto kedua 10MP dengan zum optikal 3x, dan kamera ultra-lebar 50MP.

Galaxy S25 Ultra Hitam

Baterinya juga sama seperti sebelumnya, iaitu kapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan berwayar 45W.

Galaxy AI

Samsung memberikan tumpuan besar kepada Galaxy AI tahun ini, dengan janji untuk menawarkan penggunaan AI yang lebih pintar, kontekstual, dan multi-modal.

Kini, anda boleh berinteraksi dengan telefon Galaxy anda dan mengintegrasikan aplikasi pihak ketiga melalui satu arahan sahaja.

Galaxy AI

Fungsi Circle to Search yang dinaik taraf kini boleh mengenali nombor telefon, e-mel, dan URL, serta menyediakan langkah-langkah yang boleh diambil secara terus (contohnya untuk membuat panggilan, menghantar e-mel, atau melawat pautan).

Samsung juga menambah ciri-ciri kecil lain seperti Now Brief yang memberikan ringkasan aktiviti harian anda, Audio Eraser untuk menghapuskan bunyi latar belakang, dan AI Select yang mencadangkan fungsi AI berdasarkan paparan skrin anda.

Now Brief

Selain itu, Samsung menjanjikan kemas kini OS selama 7 tahun dan kemas kini keselamatan selama 7 tahun untuk siri Galaxy S25.

Harga Siri Samsung S25 di Malaysia

Siri Galaxy S25 kini boleh dipra-tempah di laman rasmi Samsung Malaysia. Terdapat promosi istimewa untuk pembeli awal yang boleh menjimatkan sehingga RM600.

Berikut adalah harga rasmi siri Galaxy S25:

Samsung Galaxy S25

• 12GB+256GB – RM3,999

• 12GB+512GB – RM4,599

Samsung Galaxy S25+

• 12GB+256GB – RM4,999

• 12GB+512GB – RM5,599

Samsung Galaxy S25 Ultra

• 12GB+256GB – RM5,999

• 12GB+512GB – RM6,599

• 12GB+1TB – RM7,799

Pra tempah Samsung Galaxy S25 Series

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!