Laman Utama / Gajet / Samsung Beri Petunjuk Model Foldable Ultra Baharu Sedang Dalam Pembangunan

Samsung Beri Petunjuk Model Foldable Ultra Baharu Sedang Dalam Pembangunan


By Editor Jun 5, 2025

Samsung telah memberi petunjuk awal mengenai kemunculan model Ultra bagi Galaxy Z Fold 7. Ianya hadir menjelang pelancaran yang dinanti-nantikan untuk barisan telefon boleh lipat 2025 mereka. Sehingga kini, Samsung hanya mengeluarkan dua jenis peranti boleh lipat – gaya buku Galaxy Z Fold dan gaya kerang menerusi Galaxy Z Flip.

Namun, dalam siaran media baru-baru ini, gergasi teknologi dari Korea Selatan itu menekankan kehadiran sebuah model Ultra boleh lipat yang boleh berubah menjadi “pusat hiburan yang lebih imersif, ruang kerja yang luas, atau peranti multitugas berkuasa tinggi.”

Klip pendek berdurasi 12 saat itu tidak mendedahkan banyak maklumat. Ia hanya memaparkan bayangan segi empat tepat yang terbuka seperti buku – sekaligus memberi petunjuk bahawa ini berkemungkinan besar adalah varian Fold Ultra, bukannya Flip, memandangkan Flip menggunakan reka bentuk kerang.

Tulisan yang mengiringi klip itu juga tidak memberi petunjuk lanjut, kecuali menyebut bahawa peranti ini lahir daripada permintaan pengguna yang inginkan “skrin lebih besar, kamera lebih baik dan cara baharu untuk berhubung dan berkarya.” Ia juga menekankan bahawa peranti ini bakal menawarkan “pengalaman Ultra yang melangkaui sekadar senarai naik taraf biasa dalam reka bentuk yang lebih kecil dan mudah alih.”

Apa yang pasti, model Ultra ini tidak akan terlepas daripada rangkaian ciri Galaxy AI milik Samsung. Antara contoh penggunaan yang disebut termasuklah menggunakan kawalan suara untuk mencari restoran yang ideal, atau menyiapkan draf e-mel kerja yang tertangguh.

Acahan tersebut diakhiri dengan frasa, “The Ultra experience is ready to unfold.”

Namun, masih belum dapat dipastikan sama ada Samsung akan melancarkan dua model gaya buku – iaitu Galaxy Z Fold 7 dan Z Fold 7 Ultra – atau jika model Ultra hanyalah penjenamaan semula Fold 7 dengan tambahan nama ‘Ultra’.

Buat masa ini, kita mungkin perlu tunggu sedikit masa lagi untuk gambaran penuh. Samsung masih belum mengumumkan tarikh rasmi untuk acara Galaxy Unpacked di mana telefon boleh lipat baharu itu bakal diperkenalkan. Namun, berdasarkan pelancaran sebelum ini, ia dijangka berlangsung sekitar awal Julai tahun ini.

Sumber: [1] Samsung Newsroom

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!