Peranti Gaming Mudah Alih ROG Xbox Ally Baharu Satukan Ciri Terbaik Xbox dan PC Gaming

ASUS Republic of Gamers (ROG) telah memperkenalkan dua peranti permainan mudah alih terbaharu – ROG Xbox Ally dan ROG Xbox Ally X – yang dibangunkan melalui kerjasama dengan Xbox. Barisan baharu ini menampilkan reka bentuk casis yang diperbaharui dengan kawasan rehat tapak tangan serta tekstur permukaan baharu, yang menurut ASUS menawarkan cengkaman lebih selesa untuk sesi permainan yang panjang.
Kedua-dua model dikuasakan oleh generasi pemproses terkini daripada AMD. ROG Xbox Ally dilengkapi dengan pemproses AMD Ryzen Z2 A, manakala ROG Xbox Ally X menggunakan AMD Ryzen AI Z2 Extreme. Cip ini direka untuk menyokong teknologi perisian terkini AMD seperti FidelityFX Super Resolution (FSR), Radeon Super Resolution (RSR), dan AMD Fluid Motion Frames (AFMF). Teknologi ini bertujuan meningkatkan kualiti visual dan kadar bingkai dalam pelbagai judul permainan.

ROG Xbox Ally X turut memperkenalkan pencetus haptik (impulse triggers), yang meningkatkan maklum balas sentuhan dalam permainan yang menyokong ciri ini, memberikan pengalaman bermain yang lebih imersif. Spesifikasi lain seperti RAM, paparan, hayat bateri dan storan masih belum diumumkan semasa pelancaran.

ASUS telah mengesahkan bahawa siri ROG Xbox Ally akan mula dilancarkan semasa musim cuti hujung tahun 2025 di beberapa rantau terpilih. Pasaran yang disahkan termasuk Jepun, Korea, Singapura dan Thailand. Malaysia tidak disebut secara khusus, tetapi ASUS menyatakan ketersediaan akan turut diperluas ke pasaran lain di mana produk ROG Ally sedia ada telah dijual. Harga dan promosi pelancaran masih belum diumumkan.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

