realme Perkenal Siri GT 7 di Malaysia, Termasuk Edisi Khas Dream Edition Bersama Aston Martin

realme telah melancarkan Siri GT 7 di Malaysia, menandakan kemunculan pertama realme GT 7 sebagai telefon pintar pertama di negara ini yang dikuasakan oleh pemproses MediaTek Dimensity 9400e. Peranti ini turut memperkenalkan AI Planner, satu ciri perisian baharu yang membantu pengguna mengatur aktiviti harian mereka.
realme GT 7 dilengkapi dengan paparan AMOLED 6.78-inci, resolusi 1.5K (2780 x 1264), kadar segar semula 120Hz, dan kecerahan puncak 6,000 nits. Di bahagian belakang, telefon ini menampilkan sistem tiga kamera yang terdiri daripada sensor Sony IMX906 50MP dengan OIS, kamera telefoto 50MP 2x, dan kamera ultra-lebar 8MP. Kamera hadapan pula ialah 32MP.

Antara spesifikasi yang menonjol adalah bateri 7,000mAh dengan pengecasan berwayar 120W. Telefon ini juga menerima penarafan IP69 untuk ketahanan terhadap habuk dan air. realme turut menjanjikan 4 kemas kini utama Android untuk GT 7. Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna: IceSense Blue dan IceSense Black.
Sementara itu, GT 7T dikuasakan oleh pemproses MediaTek Dimensity 8400-MAX dan turut mempunyai paparan AMOLED 6.8-inci dengan resolusi 1.5K (2800 x 1280), kadar segar semula 120Hz, dan kecerahan puncak 1,800 nits. Ia hadir dengan dwi-kamera belakang iaitu sensor Sony IMX896 50MP dengan OIS dan lensa sudut lebar 8MP. Kamera hadapan juga beresolusi 32MP.

Model ini turut menampilkan bateri 7,000mAh dengan pengecasan 120W. Ia ditawarkan dalam 3 pilihan warna menarik: IceSense Blue, IceSense Black, dan Racing Yellow.
realme GT 7 ditawarkan pada harga RM2,599 untuk varian dengan RAM 12GB dan storan 512GB. Sementara itu, realme GT 7T hadir pada harga lebih mampu milik iaitu RM1,999 dengan konfigurasi yang sama.
realme GT 7 Dream Edition

Bersempena dengan kerjasama bersama Pasukan Formula Satu Aston Martin, realme turut melancarkan GT 7 Dream Edition. Edisi istimewa ini tampil dalam warna Aston Martin Racing Green dengan logo sayap perak (Silver Wings) yang terukir kemas di bahagian belakang, diinspirasikan daripada garisan aliran aerodinamik jentera F1. Ia turut didatangkan bersama kotak edisi pengumpul dan sarung telefon Silver Wing yang sepadan. Ia ditawarkan dalam konfigurasi 16GB RAM dan 512GB storan, dan dijual pada harga RM2,999.

Kesemua model ini tersedia untuk pra-tempahan sehingga 30 Mei 2025 di Kedai Jenama realme, pengedar sah, dan platform rasmi realme di Shopee, Lazada, dan TikTok Shop. Dari 31 Mei hingga 30 Jun 2025, pelanggan akan menerima hadiah bernilai sehingga RM997 dengan setiap pembelian. Hadiah termasuk batang swafoto (selfie stick), jaminan lanjutan setahun, dan jaminan skrin retak selama setahun.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

