Laman Utama / Gajet / Razer Meluaskan Barisan Permainan Mudah Alih dengan Kishi V3 Baharu

Razer Meluaskan Barisan Permainan Mudah Alih dengan Kishi V3 Baharu


By PriceShop News Jun 16, 2025

Razer secara rasmi telah melancarkan barisan pengawal permainan mudah alih (mobile gaming controller) USB‑C Kishi V3 baharu, memperkenalkan tiga model: Kishi V3, Kishi V3 Pro, dan Kishi V3 Pro XL.

Razer Kishi V3 merupakan iterasi terbaharu dalam siri pengawal permainan mudah alih keluaran Razer, yang direka untuk memberikan pengalaman permainan berskala penuh pada peranti mudah alih. Ia serasi dengan telefon Android USB-C serta siri iPhone 15 dan 16. Kishi V3 hadir dengan rekaan lebih ergonomik, dilengkapi thumbstick TMR bertaraf konsol, D-Pad yang responsif, dan dua butang belakang dengan mekanisme klik tetikus. Model ini turut menyokong pengecasan sambil main (passtrough) USB-C dan dilengkapi bicu audio 3.5mm, menjadikannya lebih praktikal untuk sesi permainan yang panjang. Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk bermain di PC melalui sambungan berwayar, memberikan fleksibiliti tambahan kepada pemain yang menggunakan pelbagai platform.

Razer Kishi V3
Razer Kishi V3

Razer Kishi V3 Pro membina keupayaan model standard dengan menyokong peranti bersaiz lebih besar, termasuk tablet mini sehingga 8 inci. Ia menampilkan teknologi haptik Sensa HD dari Razer bagi maklum balas yang lebih imersif dan realistik semasa bermain. Model ini turut hadir dengan thumbstick TMR yang boleh ditukar kepala, bumper dengan cengkaman cakar (claw grip), dua butang belakang berfungsi seperti klik tetikus, serta reka bentuk USB-C “pulau” yang meningkatkan keserasian dengan peranti yang menggunakan casing pelindung. Seperti versi asas, Kishi V3 Pro menyokong pengecasan passtrough dan sambungan audio 3.5mm. Untuk permainan di PC, ia boleh digunakan melalui aplikasi Razer Nexus.

Razer Kishi V3 Pro
Razer Kishi V3 Pro

Razer Kishi V3 Pro XL pula direka untuk tablet bersaiz penuh sehingga 13 inci, termasuk iPad Pro dan iPad Air. Ia mengekalkan semua ciri canggih Kishi V3 Pro, termasuk haptik Sensa HD dan susun atur kawalan boleh disesuaikan. Model ini memberikan pengalaman setaraf konsol pada skrin lebih besar, sesuai untuk pengguna yang gemar bermain di tablet sambil mengekalkan keselesaan dan ketepatan taktil.

Razer Kishi V3 Pro XL
Razer Kishi V3 Pro XL

Harga barisan Razer Kishi V3 di Malaysia

Siri Razer Kishi V3 kini rasmi ditawarkan di Malaysia dan boleh didapati melalui laman web rasmi Razer serta pengedar sah. Model standard Kishi V3 dijual pada harga RM499, manakala Kishi V3 Pro ditawarkan pada harga RM769. Bagi pengguna tablet bersaiz penuh, versi tertinggi iaitu Kishi V3 Pro XL boleh dimiliki pada harga RM1,039.

Sebagai sebahagian daripada promosi pelancaran, pembelian Kishi V3 dan Kishi V3 Pro hadir dengan langganan percuma Apple Arcade selama 3 bulan, iaitu perkhidmatan permainan Apple yang menawarkan akses tanpa had kepada lebih 200 permainan. Sementara itu, pembeli Kishi V3 Pro XL akan menerima langganan Apple Arcade selama 6 bulan, khas untuk pengguna baharu dan mereka yang layak untuk kembali melanggan.

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!