Laman Utama / Panduan Pembelian / Projektor Bajet Tapi Berbaloi? Xiaomi L1 Pro Jawapannya

Projektor Bajet Tapi Berbaloi? Xiaomi L1 Pro Jawapannya


By Editor Ogos 6, 2025

Sebelum ini, kami pernah mencuba projektor hebat seperti Epson EH-QL3000W. Kualitinya memang menakjubkan — tapi dengan harga lebih RM60,000, ia memang di luar kemampuan kebanyakan orang.

Kalau sedang mencari projektor yang lebih mesra bajet (dan tidak semahal sebuah kereta Perodua Ativa yang dibayar tunai), Xiaomi L1 Pro boleh menjadi pilihan yang sesuai.

Dengan harga cuma RM1,199, L1 Pro lebih mudah dimiliki dan hadir dengan ciri menarik untuk sesi tontonan di rumah. Berikut antara sebab kenapa alat ini patut dipertimbangkan.

Mesra Pengguna

Tidak perlu dipasang pada siling atau menggunakan kabel panjang dari lantai ke atas — L1 Pro merupakan penyelesaian plug-and-play yang sangat mudah digunakan. Ia direka agar mesra pengguna, termasuk bagi mereka yang baru pertama kali menggunakan projektor (malah ibu bapa anda juga boleh memasangnya dengan sedikit panduan).

Selepas menyambungkan penyesuai utama — seperti kebanyakan peranti lain — satu-satunya keputusan yang perlu anda buat ialah sama ada mahu menghubungkannya ke komputer riba atau tidak. Selebihnya, termasuk fungsi pemfokusan, dilakukan secara automatik. Sudah tentu, terdapat juga pilihan untuk melaraskan fokus secara manual jika anda lebih berpengalaman mengendalikannya.

Netflix dan YouTube telah dipra-pasang

Anda tidak memerlukan kabel HDMI pun sebenarnya. Xiaomi L1 Pro didatangkan siap dengan aplikasi Netflix dan YouTube, jadi selagi anda mempunyai akaun untuk salah satu daripadanya, anda sudah cukup untuk menikmati kandungan hiburan. Kedua-dua aplikasi ini merupakan antara platform penstriman paling popular di dunia, jadi kehadirannya dalam sistem operasi sememangnya satu kelebihan.

Sebagai nilai tambah, alat kawalan jauh Xiaomi L1 Pro turut dilengkapi dengan butang khas untuk akses pantas ke aplikasi tersebut — semuanya hanya di hujung jari.

Mudah Dibawa ke Mana-mana

Bagi saya secara peribadi, ciri terbaik L1 Pro ialah tahap mudah alihnya. Ia benar-benar akan menceriakan staycation anda yang seterusnya kerana mudah dibawa ke mana-mana dan tidak memakan ruang. Bayangkan malam anda menonton filem selepas makan malam yang mengenyangkan, atau sesi karaoke yang riuh dan sumbang suara sepanjang malam. Untuk peminat bola sepak pula, aksi Premier League pada Super Sunday pasti lebih mengasyikkan dengan projektor ini.

Malah di rumah, mengalihkan projektor ini dari bilik tidur ke ruang tamu, atau ke mana-mana ruang lain untuk mencipta suasana hiburan, bukanlah satu kesukaran.

Kualiti Video dan Audio yang Memuaskan

Walaupun ditawarkan pada harga mampu milik, L1 Pro tetap menyajikan kualiti visual yang memuaskan dengan resolusi HD 1080p. Cuma pastikan anda menggunakannya di bilik yang gelap — atau sekurang-kurangnya malap — kerana tahap kecerahannya yang hanya 400 lumen akan menjadi kurang menyerlah dalam pencahayaan terang. Namun begitu, pada jarak optimum, projektor ini mampu memaparkan skrin sebesar 120″ untuk kepuasan menonton anda.

Tambahan pula, anda tidak perlu membawa speaker luaran, kerana L1 Pro dilengkapi dengan dua pembesar suara Dolby Audio 5W terbina dalam. Ia memang berkesan untuk bilik kecil — walaupun mungkin agak keterlaluan jika digelar “setaraf pawagam”. Namun begitu, kualitinya lebih daripada mencukupi untuk memuaskan hati kumpulan peminat filem kasual.

Jadi, adakah Xiaomi Projector L1 Pro Berbaloi Dimiliki?

Jadi, adakah Xiaomi Projector L1 Pro berbaloi untuk dibeli? Bagi saya, jawapannya sudah tentu ya, berdasarkan ciri-ciri yang ditawarkan pada harga ini. Ini ialah projektor bersaiz kompak yang mampu mencetuskan banyak detik menyeronokkan — malam wayang bersama rakan dan keluarga, malam temu janji, atau malam Jumaat yang dinanti-nantikan untuk sesi tontonan bersama.

Ia merupakan produk hiburan yang pasti digemari ramai — dan meskipun anda tidak menggunakannya setiap hari, ia tetap berguna apabila anda mengidamkan pengalaman menonton ala pawagam di rumah.

Xiaomi L1 Pro kini boleh didapati di Malaysia pada harga RM1,199. Ia boleh dibeli melalui laman web rasmi Xiaomi, serta di platform rasmi Xiaomi di Shopee dan Lazada.

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!