Ada gajet lama tersimpan? Petrosains tawar hadiah percuma jika anda kitar semula di KLCC

Kalau anda masih menyimpan gajet lama atau rosak di rumah, inilah masanya untuk melupuskannya — dengan cara yang bertanggungjawab. Sempena Hari Bumi, sekumpulan organisasi ternama bergabung untuk menjalankan kempen pengumpulan e-waste selama sebulan.
Organisasi yang terlibat termasuk Petrosains, PETRONAS Digital, Suria KLCC, ERTH, Inside Scoop, dan Sangkaya.

Kempen ini berlangsung dari 22 April hingga 22 Mei 2025, dengan lokasi drop-off disediakan di tiga tempat strategik sekitar KLCC. Motif utama kempen ini adalah untuk menggalakkan orang ramai mengitar semula peranti lama dengan cara yang betul. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah membawa peranti lama anda ke mana-mana lokasi drop-off dan memasukkannya ke dalam tong e-waste yang disediakan.
Anda boleh menemui lokasi drop-off yang ditetapkan di:
- Petrosains, KLCC – Kawasan Hotscience
- PETRONAS Twin Towers Visit Experience – Lobi Konkos
- Suria KLCC – Pintu Masuk P1 (berhampiran Maybank & Zara)

Walaupun tidak semua jenis peranti elektronik diterima, namun kempen ini menyasarkan pelbagai kategori e-waste seperti komputer, komputer riba, CPU, monitor skrin rata, projektor, tablet, dan telefon pintar.

Bagi menggalakkan orang ramai untuk menyertai, Petrosains menawarkan satu perjalanan percuma di kapsul tenaga (Energy Capsule) kepada mereka yang mengitar semula PC, komputer riba, dan CPU. Bagi yang mengitar semula telefon pintar, TV, tablet, projektor, atau monitor pula akan menikmati akses percuma ke Maker Studio di Petrosains.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif mesra alam ini, kunjungi laman media sosial organisasi terlibat, termasuk Facebook rasmi Petrosains dan Instagram serta Facebook rasmi ERTH.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

