Laman Utama / Gaya Hidup / PDRM kenal pasti video ‘deepfake’ PM Anwar Ibrahim digunakan dalam penipuan pelaburan

PDRM kenal pasti video ‘deepfake’ PM Anwar Ibrahim digunakan dalam penipuan pelaburan


By Alyaa Najwa Mac 13, 2025
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
Sumber Gambar: BERNAMA

Menurut laporan Bernama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti lima video pemalsuan wajah (deepfake) melibatkan ahli politik terkenal yang digunakan untuk memperdaya mangsa dalam penipuan pelaburan.

Antara video yang dikesan termasuk video yang telah dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang menampilkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok. Video ini telah tersebar luas di media sosial sejak tahun lalu.

Penggunaan AI dalam taktik penipuan semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selaras dengan perkembangan pesat teknologi tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata: “Video ini memaparkan individu berkenaan mengajak orang ramai menyertai skim pelaburan yang kononnya disokong oleh kerajaan Malaysia, dengan janji pulangan sehingga 100 kali ganda.”

“Walaupun dipromosikan di pelbagai platform, kami percaya ianya dihasilkan oleh sindiket yang sama untuk memperdaya mangsa,” katanya kepada Bernama.

deepfake

Selain figura tempatan, sindiket penipuan ini juga turut menggunakan video deepfake figura global seperti Presiden AS, Donald Trump, dan CEO Tesla, Elon Musk, dalam skim pelaburan palsu mereka.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), taktik ini sering disertakan dengan butang “Learn More” atau pautan yang mengarahkan mangsa ke halaman pendaftaran untuk mengumpulkan maklumat peribadi.

“Mereka yang tidak menyedari taktik ini mungkin akan diminta memuat turun aplikasi, yang boleh mendedahkan mereka kepada risiko jenayah siber,” kata SC.

Bagi membendung peningkatan penipuan dalam talian, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menghapuskan video deepfake yang mempromosikan pelaburan palsu.

Source: [1] BERNAMA

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!


    Apple dijangka tangguh naik taraf Siri berasaskan AI


    By Alyaa Najwa March 12, 2025
    Siri updates delay

    Menurut laporan Mark Gurman dari Bloomberg, naik taraf Siri yang diperkenalkan oleh Apple pada bulan Jun tahun lalu kini mengalami kelewatan.

    Untuk konteks, dalam acara Worldwide Developers Conference (WWDC) 2024, Apple telah mempamerkan versi Siri yang lebih maju dengan peningkatan kepintaran buatan (AI) yang menjanjikan pengalaman lebih diperibadikan serta kawalan lebih meluas ke atas pelbagai aplikasi. Ini termasuk keupayaan untuk mengakses peranti anda bagi memberikan jawapan yang lebih tepat berdasarkan konteks pertanyaan.

    Namun, laporan terbaru menyatakan bahawa Apple menghadapi kesukaran untuk merealisasikan janji tersebut, menyebabkan naik taraf Siri kini tertangguh tanpa tempoh yang ditetapkan. Walaupun Apple tidak pernah mengumumkan tarikh rasmi, namun ciri ini sebenarnya dijangka akan dilancarkan bersama kemas kini iOS 18.4 pada bulan April ini.

    Menurut laporan Gurman, pembangunan Siri versi baharu sedang ketinggalan sehingga “ketua perisian Craig Federighi dan eksekutif lain menyuarakan kebimbangan serius secara dalaman bahawa ciri-ciri tersebut tidak berfungsi dengan baik – atau seperti yang diiklankan – dalam ujian peribadi mereka.”

    Sumber terdekat Gurman kini percaya bahawa naik taraf Siri ini mungkin hanya akan dilancarkan tahun depan, paling awal.

    Sumber: [1] Mark Gurman, Bloomberg