Nothing Phone (3) Akan Dilancar pada 2 Julai: Ini Semua Yang Kita Tahu Setakat Ini

Penantian selama 2 tahun untuk Nothing Phone (3) akan berakhir pada 2 Julai, jam 1 pagi waktu Malaysia, seperti yang disahkan oleh syarikat yang berpangkalan di London melalui akaun Instagram rasmi mereka.
Setakat ini, jenama tersebut telah berjaya menyimpan maklumat telefon baharu ini dengan sangat rapi. Kebocoran maklumat yang boleh dipercayai sangat sedikit, dan pihak Nothing sendiri juga tidak banyak berkongsi mengenai Phone (3). Dan seperti biasa, Nothing mengekalkan gaya misteri mereka dengan animasi mengelirukan dan imej komponen yang tidak dapat dikenalpasti, dipercayai sebahagian daripada telefon ini.
Mereka juga mendakwa telah “membunuh Glyph Interface”, iaitu sistem cahaya di panel belakang yang menjadi ikonik pada siri telefon Nothing. Ramai yang skeptikal terhadap kenyataan ini, menyifatkannya sebagai sekadar “umpan kemarahan” (rage bait), namun ada juga yang kecewa jika benar GI tidak lagi disertakan.
Dalam hantaran berasingan beberapa hari kemudian, Nothing memuat naik animasi dot matrix yang pelik, diikuti kenyataan “Come to Play” yang muncul selepasnya. Ramai yang membuat spekulasi tentang maksud animasi itu, dan ada yang menjangka Nothing akan memperkenalkan paparan dot matrix boleh diubahsuai di panel belakang, menggantikan Glyph Interface.
Nothing Phone (3): Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini
Walaupun kebanyakan butiran masih dirahsiakan, beberapa maklumat penting telah dikongsi sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Nothing, Carl Pei. Dalam Android Show: I/O Edition, Pei mengesahkan bahawa syarikat itu akan “memberi tumpuan sepenuhnya” kepada Phone (3), yang disifatkan sebagai peranti flagship sebenar pertama keluaran Nothing. Meskipun beliau tidak menghuraikan dengan panjang lebar, beliau menyatakan bahawa model akan datang ini akan menampilkan “bahan binaan premium, peningkatan prestasi yang ketara, serta perisian yang dipertingkatkan untuk pengalaman pengguna yang lebih baik.”

Sudah tentu, peningkatan seperti ini tidak akan datang tanpa kos. Dan kosnya kelihatan adalah agak tinggi. Dalam video yang sama, Carl Pei mengesahkan bahawa harga Phone (3) “akan berada sekitar £800,” iaitu kira-kira RM4,500 apabila ditukar ke mata wang Ringgit Malaysia. Ini merupakan peningkatan ketara berbanding harga permulaan Phone (2), yang dilancarkan pada tahun 2023 pada harga RM1,999.
Dalam dua iterasi pertama model Phone, Nothing berjaya mengurangkan kos dengan menggunakan cip pemprosesan utama yang lebih lama. Namun, saya meragui strategi ini akan berhasil kali ini. Oleh itu, kita boleh menjangkakan bahawa Phone (3) akan dilengkapi dengan cip Snapdragon 8 Elite atau Dimensity 9400.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

