MyKad Rosak Boleh Gagalkan Tuntutan RM100 SARA – Ini Cara Semak Menurut JPN 

Pengumuman Perdana Menteri mengenai bantuan tunai RM100 SARA memberi peringatan yang tepat pada masanya untuk kita memeriksa sama ada MyKad kita masih berfungsi dengan baik. Jika anda bercadang untuk menebus bantuan sekali bayar ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengeluarkan panduan tentang cara menyemak status MyKad anda — tanpa perlu hadir ke kaunter JPN.
Jika MyKad anda mengalami kerosakan cip, jangan risau kerana proses menggantikannya sangatlah mudah (panduan disertakan di bawah).
Semak Jika MyKad Anda Perlu Diganti
Menurut JPN, antara tanda-tanda MyKad rosak termasuklah:
- MyKad tidak dapat diimbas pada mesin atau kiosk layan diri
- Bank atau agensi kerajaan tidak dapat membaca data pada kad anda
- Perlu mengimbas MyKad berulang kali (menunjukkan cip semakin rosak)
- MyKad tercalar, retak atau bengkok (kerosakan fizikal yang boleh menjejaskan cip)
- MyKad berusia lebih 10 tahun (risiko kerosakan cip meningkat)

Cara Menggantikan MyKad Anda
Jika anda mengalami tanda-tanda di atas, sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan penggantian MyKad. Untuk melakukannya, pergi ke mana-mana cawangan JPN di seluruh negara. Senarai penuh cawangan JPN setiap negeri boleh dirujuk di sini.
Setibanya di sana, ambil nombor giliran di bawah kategori ‘ROSAK’. Apabila sampai giliran, serahkan MyKad lama dan berikan maklumat peribadi anda. Kos MyKad baharu hanyalah RM10, namun jika MyKad semasa anda dikeluarkan dalam tempoh 12 bulan terakhir, penggantian adalah percuma.

Perlu diingat, tempoh siap MyKad baharu berbeza mengikut cawangan. Jika anda membuat penggantian di Ibu Pejabat JPN di Putrajaya, cawangan JPN di UTC, atau cawangan terpilih, anda mungkin dapat MyKad baharu dalam masa 30 minit sahaja.
Cawangan JPN lain mungkin mengambil masa sehingga lima hari bekerja, manakala cawangan di Sabah, Sarawak dan Labuan memerlukan sehingga tujuh hari bekerja.
Cara Menjaga MyKad Anda

JPN turut berkongsi beberapa tip untuk menjaga MyKad agar tahan lama. Antaranya termasuklah menyimpannya dalam pemegang kad dan elakkan daripada membengkok, melipat, atau mencalar kad untuk mencegah kerosakan cip. Selain itu, anda disarankan agar tidak meletakkan MyKad dalam mesin basuh dan menjauhkannya daripada magnet serta suhu yang tinggi.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

