LG Perkenal PuriCare ATOM-U, Penapis Air Bawah Singki Baharu yang Kekalkan Kekemasan Dapur Anda

LG Malaysia secara rasmi telah memperkenalkan penapis air baharu PuriCare ATOM-U, menandakan kemasukannya sebagai penyelesaian bawah singki yang direka untuk menjimatkan ruang kaunter dapur. Dilancarkan serentak dengan penjenamaan semula perkhidmatan langganan syarikat daripada LG Rent-Up kepada LG Subscribe, model ini dibina untuk tampil ringkas dengan hanya kepala paipnya yang kelihatan di atas permukaan singki.

ATOM-U menampilkan Sistem Penapisan 4-Peringkat All Puri, yang dikatakan mampu menyingkirkan 99.99% norovirus dan bahan berbahaya lain daripada air. Untuk mengekalkan tahap kebersihan, ia dilengkapi dua bentuk pensterilan: pensterilan suhu tinggi dari penapis ke saluran keluar air, dan teknologi UVnano yang mensterilkan bahagian dalam muncung air selama 10 minit setiap jam. Kepala paip ini juga boleh diputar 180 darjah, memberikan lebih fleksibiliti semasa digunakan.
Pengguna boleh mengakses air panas pada tiga tetapan suhu — 40°C, 75°C dan 85°C — yang boleh dilaras melalui panel kawalan sentuh di bahagian atas kepala paip. Terdapat juga kawalan isipadu untuk pengeluaran air yang tepat. Lampu Purity terbina dalam pada kepala paip berfungsi sebagai peringatan untuk menukar penapis.

ATOM-U serasi dengan platform LG ThinQ, membolehkan pengguna memantau status unit secara masa nyata, mengurus penggunaan air, dan menjadualkan pensterilan automatik menerusi aplikasi telefon pintar. Ia ditawarkan dalam pilihan warna Perak (Silver) dan Hitam Padu (Solid Black).
Harga LG PuriCare ATOM-U di Malaysia

LG PuriCare ATOM-U ditawarkan melalui LG Subscribe dengan pelbagai pelan langganan yang disesuaikan mengikut keperluan penyelenggaraan pengguna. Untuk penyelenggaraan kendiri, penapis ini dijual pada harga RM5,200 untuk pembelian terus dengan dua tahun penyelenggaraan kendiri. Pelan langganan bulanan pula bermula dari RM100 hingga RM140, bergantung kepada tempoh dan jenis penyelenggaraan.
Bagi pelanggan yang memilih lawatan penyelenggaraan berkala oleh pihak LG, harga bermula dari RM6,000 untuk pembelian terus dengan dua tahun servis, atau dari RM110 hingga RM150 sebulan untuk pelbagai tempoh dan liputan pelan.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

