Label “Dijana AI” Mungkin Diwajibkan Di Bawah Akta Keselamatan Dalam Talian, Kata Fahmi

Label “Dijana AI” mungkin akan diwajibkan untuk semua kandungan yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Menurut Fahmi, langkah ini akan dimasukkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2024, yang disasarkan untuk dikuatkuasakan hujung tahun ini.
“Kita mungkin pertimbangkan keperluan ini, contohnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian yang dijangka berkuat kuasa hujung tahun ini.”
“Kita juga percaya platform-platform mesti proaktif dalam melabelkan kandungan yang dijana AI,” katanya dalam satu sidang media.

Pelabelan kandungan dijana AI dilihat sebagai langkah penting dalam membendung penyalahgunaan AI untuk penipuan, fitnah dan penyamaran — khususnya di media sosial.
Fahmi berkata belum wujud garis panduan kawal selia AI yang benar-benar memuaskan di peringkat global, namun perbincangan aktif sedang dijalankan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
“Saya baru-baru ini menghadiri Sidang Kemuncak AI for Good di Geneva, Switzerland. Memang, di peringkat PBB dan ITU, perbahasan sedang berlaku mengenai siapa yang patut bertanggungjawab dalam kawal selia AI.”
“Sudah tentu di peringkat nasional, Parlimen dan kementerian seperti Kementerian Digital perlu memimpin. Tapi kita juga sedar bahawa setiap kementerian mempunyai peranan dalam menilai dan mengawal selia penggunaan AI dalam bidang masing-masing,” katanya.
Beliau turut menggesa generasi muda, terutamanya Gen Alpha, untuk memahami manfaat, cabaran dan batasan AI memandangkan dunia semakin dipengaruhi oleh teknologi ini.
Penggunaan kandungan AI, terutamanya deepfake, kini semakin berleluasa. Pada bulan Mac lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan lima video deepfake melibatkan tokoh terkenal – termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim – yang dimanipulasi untuk memperdaya mangsa dalam skim pelaburan palsu.
Sumber: [1] BERNAMA, [2] Free Malaysia Today
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

