iPhone Boleh Lipat Dijangka Dilancarkan pada 2026, Menurut Roadmap Apple yang Tertiris

Seorang penganalisis Apple terkenal telah mendedahkan apa yang dipercayainya sebagai roadmap Apple untuk dua tahun akan datang. Menurut Ming-Chi Kuo – yang dianggap sebagai antara sumber paling dipercayai untuk khabar angin Apple – Apple dijangka menetapkan pola baharu dalam jadual pelancaran iPhone.
Seperti kebiasaan, gergasi teknologi itu dijangka melancarkan iPhone 17, iPhone 17 Slim (juga dikenali sebagai iPhone 17 Air), iPhone 17 Pro, dan iPhone 17 Pro Max pada separuh kedua tahun 2025 – berkemungkinan besar pada bulan September.
Menjelang tahun baharu, Apple akan memperkenalkan iPhone 17e pada separuh pertama tahun 2026. Tetapi pada separuh kedua tahun tersebut, perubahan besar bakal berlaku.

Ming-Chi Kuo meramalkan bahawa selain iPhone 18 Slim, iPhone 18 Pro, dan iPhone 18 Pro Max, Apple juga akan memperkenalkan iPhone boleh lipat pertama mereka. Khabar angin mengenai iPhone boleh lipat telah berlegar sejak beberapa tahun lalu, walaupun tiada bukti konkrit sama ada ia akan hadir dalam bentuk buku (book-style) atau lipat kerang (clamshell).
Selain itu, anda mungkin perasan bahawa model asas iPhone 18 tidak disebut, kerana Kuo percaya bahawa Apple akan menggabungkan pelancaran iPhone 18 dan 18e pada separuh pertama 2027.

Pada separuh kedua 2027, Apple dijangka meneruskan pelancaran dengan iPhone 19 Slim, iPhone 19 Pro, iPhone 19 Pro Max, serta generasi kedua iPhone boleh lipat.
Tidak mengejutkan jika Apple akhirnya memasuki pasaran telefon boleh lipat, lebih-lebih lagi apabila pesaing lama seperti Samsung, Google, HONOR, OPPO dan HUAWEI telah lama bersaing dalam segmen ini. Tambahan pula, tawaran telefon boleh lipat mereka sering mendapat liputan dan sambutan hangat.
Dengan masa yang cukup untuk memerhati sentimen pasaran, Apple kini berada dalam kedudukan untuk melancarkan produk lipat yang benar-benar mantap. Maka tidak hairanlah jika iPhone boleh lipat akan diperkenalkan seawal tahun hadapan.
Sumber: [1] Ming-Chi Kuo
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

