Laman Utama / Gajet / Inilah Mesin Pembunuh Nyamuk Yang Patut Ada di Malaysia

Inilah Mesin Pembunuh Nyamuk Yang Patut Ada di Malaysia


By Editor Julai 8, 2025

Sebagai rakyat Malaysia, kita memang tidak asing lagi dengan masalah nyamuk, terutamanya ketika musim hujan apabila nyamuk Aedes mula ‘mengganas’ dan menyebarkan demam denggi. Kita semua tahu prosedurnya – kosongkan tong, buang air bertakung, dan sediakan semburan nyamuk di tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk.

Tapi bagaimana jika ada satu penyelesaian yang lebih aktif, atau satu alat yang benar-benar memburu dan membunuh nyamuk di rumah anda? Itulah yang ditawarkan oleh mesin pembunuh nyamuk berkuasa laser ini. Dinamakan Photonmatrix, ia merupakan sistem pertahanan udara anti-nyamuk yang menembak nyamuk menggunakan laser secara automatik.

Namun sebelum anda terlalu teruja, ia masih dalam fasa crowdfunding di Indiegogo, yang bermakna produk ini belum dilancarkan secara rasmi. Walaubagaimanapun, projek ini dilihat sangat berpotensi, kerana ia telah melepasi sasaran asal sebanyak RM83,888—malah kini sudah melebihi RM2 juta (RM2,021,368 pada waktu artikel ini ditulis).

Pencipta projek ini, Jim Wong dari Changzhou, China, berkata Photonmatrix menggunakan teknologi LiDAR dan laser berprestasi tinggi untuk mengesan dan membunuh nyamuk dalam radius tertentu—bergantung kepada model yang dibeli.

Menurut halaman rasmi crowdfunding, terdapat dua varian ditawarkan: edisi Basic dan Pro. Perbezaan utama ialah jarak laser – edisi Basic boleh mencapai sehingga 3 meter, manakala edisi Pro mampu menembak dalam radius 6 meter.

Jika anda tertanya-tanya tentang keberkesanannya, anda boleh lihat sendiri video demonstrasi berikut:

Menurut penerangan produk: “Apabila objek yang jauh lebih besar daripada nyamuk dikesan, sistem akan mengenalpasti dan tidak akan mengaktifkan laser. Tetapi jika nyamuk dikesan, sistem akan melaksanakan pengenalpastian dan tembakan laser dalam masa yang sangat singkat.”

Mesin pembunuh nyamuk

Selain nyamuk, alat ini juga boleh membunuh serangga terbang kecil lain seperti agas dan lalat buah – selagi kelajuan terbang mereka tidak melebihi 1 meter/saat dan saiz mereka antara 2–20 mm.

“Alat ini cukup selamat dan tidak akan membahayakan manusia, haiwan peliharaan, atau burung-burung di kejauhan.”

Menurut penciptanya, Photonmatrix paling sesuai digunakan di bawah teduhan bagi mengelakkan titisan hujan atau habuk mencemari panel kaca. Walaupun begitu, ia tetap dilengkapi dengan ketahanan cuaca tahap IP68.

Untuk penegasan semula, Photonmatrix masih di peringkat crowdfunding dan belum dijual secara rasmi. Namun dengan dana yang melepasi sasaran asal dengan begitu besar, projek ini nampak sangat menjanjikan. Jika anda ingin menyokong pembangunan Photonmatrix, anda boleh menyumbang melalui laman rasmi Indiegogo mereka.

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!