Laman Utama / Gajet / Siri HUAWEI FIT 4 Tampil Dengan Reka Bentuk Mirip Watch Ultra; Harga Bermula RM599

Siri HUAWEI FIT 4 Tampil Dengan Reka Bentuk Mirip Watch Ultra; Harga Bermula RM599


By Alyaa Najwa Mei 26, 2025
HUAWEI WATCH FIT 4

Selepas memberikan pandangan awal, kami akhirnya dapat mendedahkan sepenuhnya Siri HUAWEI WATCH FIT 4. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, siri ini memperkenalkan dua model baharu: FIT 4 dan FIT 4 Pro – yang mana Pro merupakan model Pro pertama dalam siri ini.

Seperti disebut dalam artikel pandangan pertama kami, Siri FIT 4 mempunyai rupa yang sangat mirip dengan Apple Watch Ultra. FIT 4 Pro, khususnya, menampilkan susunan dail dan butang yang serupa dengan Watch Ultra. Walau bagaimanapun, FIT 4 Pro ialah jam tangan tersendiri dengan tanda harga yang jauh lebih mesra dompet, sesuai untuk mereka yang meminati gaya Watch Ultra.

SIRI HUAWEI WATCH FIT 4

WATCH FIT 4 Pro hanya seberat 30.4 gram dan hadir dengan bingkai nipis setebal 9.3mm. Bingkainya diperbuat daripada aloi titanium, manakala badannya diperbuat daripada aluminium. Paparan AMOLED bersaiz 1.82 inci dilindungi dengan kaca Sapphire dan menyokong tahap kecerahan maksimum sehingga 3,000 nits.

FIT 4 Pro disediakan dengan beberapa pilihan tali, termasuk tali hitam dan biru yang diperbuat daripada fluroelastomer serta tali hijau yang diperbuat daripada anyaman nilon.

HUAWEI WATCH FIT 4 Pro dalam tali nilon hijau dipamerkan dalam akuarium
HUAWEI WATCH FIT 4 Pro dalam tali nilon hijau dipamerkan dalam akuarium

Bagi model standard WATCH FIT 4, ianya lebih ringan iaitu seberat 27 gram tetapi sedikit lebih tebal dengan ketebalan 9.5mm. Ia masih menggunakan paparan AMOLED yang sama, tetapi tanpa kaca Sapphire dan kecerahan maksimum hanya 2,000nits.

Pilihan tali juga lebih pelbagai. Tali berwarna hitam, ungu dan putih diperbuat daripada fluroelastomer, manakala tali berwarna kelabu diperbuat daripada anyaman nilon.

HUAWEI WATCH FIT 4 dalam tali nilon kelabu
HUAWEI WATCH FIT 4 dalam tali nilon kelabu

Dari segi penjejakan kesihatan, Siri FIT 4 menyokong lebih daripada 100 mod senaman, termasuk pendakian gunung dan ski. Ia turut menampilkan Freedive Mode untuk selaman sehingga 40 meter, serta mod Golf dan Trail Run. HUAWEI turut menyatakan bahawa Sunflower Positioning System menambah baik ketepatan penjejakan GNSS sebanyak 30%.

SIRI HUAWEI WATCH FIT 4
HUAWEI WATCH FIT 4

Fungsi penjejakan kesihatan lain yang tersedia termasuk pemantauan kadar jantung, SpO2, tekanan, pola tidur, dan kesejahteraan emosi. Model FIT 4 Pro sahaja yang menyokong fungsi ECG, iaitu untuk merekod aktiviti elektrik jantung.

Tambahan pula, Siri FIT 4 kini membolehkan pengguna membalas mesej WhatsApp terus dari jam tangan melalui papan kekunci pop-up. Ia juga menyokong pembayaran QR Touch ‘n Go dan akses kad NFC.

Harga Siri HUAWEI WATCH FIT 4 di Malaysia

HUAWEI WATCH FIT 4 Pro dijual pada harga rasmi RM999, manakala WATCH FIT 4 bermula dari RM599 untuk model dengan tali fluroelastomer (hitam, putih, ungu), dan RM699 untuk model bertali nilon kelabu.

Harga HUAWEI WATCH FIT 4 Pro di Malaysia

Tempahan awal bermula pada 22 Mei hingga 30 Mei 2025. Sepanjang tempoh ini, pelanggan akan menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM156, termasuk penimbang berat HUAWEI dan keahlian HUAWEI Health+ selama 3 bulan.

Tempahan boleh dibuat melalui laman rasmi HUAWEI, atau di platform rasmi mereka di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!