Harga Tertiris Tunjuk Fon Kepala Over-Ear Baharu Nothing Lebih Murah Dari AirPods Max

Nothing kini bersedia melancarkan fon kepala over-ear pertama mereka. Syarikat itu mengesahkan produk ini pada Mei lalu menerusi video pendek bertajuk “We’re Making Over-Ear Headphones.” Walaupun tiada penampakan rasmi atau senarai spesifikasi penuh setakat ini, kebocoran terbaru telah mendedahkan harga anggaran.
Menurut laman Dealabs, fon kepala ini dijangka dijual pada harga £299 di UK, iaitu sekitar RM1,710 di Malaysia. Kebocoran itu juga menyebut akan terdapat tiga pilihan warna — hitam, putih dan kelabu — namun ini mungkin berbeza mengikut pasaran.
Dalam video awal yang dikeluarkan, Nothing memberi bayangan bahawa fon kepala ini akan menawarkan prestasi bertaraf tinggi pada harga yang masih mampu milik. Jenama ini nampaknya mahu meletakkan produk ini sebagai pesaing utama kepada AirPods Max. Namun, sejauh mana ia mampu menyaingi prestasi Apple, masih belum dapat dipastikan.

Terdapat juga spekulasi mengenai kerjasama dengan syarikat audio British, KEF. Kedua-dua jenama mengumumkan kerjasama awal tahun ini, tetapi ianya belum jelas sama ada KEF terlibat secara langsung dalam pembangunan fon kepala ini.
Nothing dijangka melancarkan fon kepala ini pada 1 Julai, serentak dengan pelancaran Nothing Phone (3). Untuk pasaran Malaysia, acara ini akan berlangsung pada 2 Julai jam 1:00 pagi waktu tempatan.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

