ASUS ROG Phone 9 FE dengan Snapdragon 8 Gen 3 kini di Malaysia; Harga RM2,999

ASUS Malaysia telah mengesahkan kehadiran tambahan terbaru dalam siri ROG Phone 9 – ROG Phone 9 FE. Model ini menyertai ROG Phone 9 dan Phone 9 Pro yang telah dilancarkan pada Disember 2024.
Seperti model FE lain dalam industri, ROG Phone 9 FE merupakan varian yang lebih berpatutan berbanding model utama, dengan peningkatan pada beberapa aspek utama yang menjadikannya pilihan lebih menarik berbanding siri ROG Phone 8 tahun lalu.

Untuk permulaan, ROG Phone 9 FE menggunakan cip utama Qualcomm 2024 – Snapdragon 8 Gen 3 – dan bukan Snapdragon 8 Elite yang diperkenalkan tahun ini. Prestasinya disokong oleh 12GB RAM LPDDR5X serta storan UFS 4.0 sebesar 256GB.
Dari segi spesifikasi, ia banyak menyerupai ROG Phone 8. Namun, perbezaan utamanya terletak pada reka bentuk, di mana Phone 9 FE mengikut jejak model lain dalam siri ini dengan mengintegrasikan paparan titik matrix AniMe Vision. Malah, dengan 341 LED mini boleh diubah suai menghiasi panel belakangnya, ia mengatasi model asas ROG Phone 9, yang hanya mempunyai 85 LED. Sebagai perbandingan, Phone 9 Pro tampil lebih hebat dengan 648 LED mini.

Sementara itu, skrin utama ROG Phone 9 FE mengekalkan paparan E6 AMOLED 6.78 inci dengan resolusi FHD+ (2400×1080), kadar segar semula sehingga 185Hz, dan kecerahan puncak 2,500 nits.
ASUS juga mengekalkan AirTriggers pada peranti ini, bersama dengan ciri tambahan untuk gaming seperti X Sense 3.0, X Capture 2.0, dan AI Grabber 2.0.

Dari segi kamera, ROG Phone 9 FE menampilkan susunan yang sama seperti ROG Phone 8. Ia dilengkapi dengan kamera utama 50MP Sony IMX890, kamera ultra lebar 13MP, dan kamera makro 5MP. Sementara itu, di bahagian hadapan terdapat kamera swafoto 32MP.
Model FE mengalami sedikit pengurangan kapasiti bateri, dengan bateri 5,500mAh, berbanding 5,800mAh yang digunakan pada model utama.
Dari segi sambungan, telefon ini menyokong Wi-Fi 7 dan Bluetooth 5.4.
Harga ROG Phone 9 FE di Malaysia

ROG Phone 9 FE dijual pada harga RM2,999 di Malaysia dan kini boleh didapati di semua pengedar sah ASUS.
Sebagai sebahagian daripada kempen ROG Phone 9 Epic Raya Special, pembelian mana-mana peranti dalam siri ROG Phone 9, termasuk 9 FE, akan disertakan dengan kredit Touch ‘n Go eWallet bernilai RM300.
Kempen ini berlangsung dari 19 Mac hingga 30 April 2025.
Baca lebih banyak arrtikel kami di bawah!