Laman Utama / Panduan Pembelian / Hands-on POCO F7 Ultra: POCO mungkin telah menghasilkan ‘flagship killer’ terbaik mereka

Hands-on POCO F7 Ultra: POCO mungkin telah menghasilkan ‘flagship killer’ terbaik mereka


By Editor Mac 28, 2025
Ulasan POCO F7 Ultra

Siri terbaru POCO hadir dengan sentuhan baharu yang menyegarkan. Buat pertama kalinya, jenama ini memperkenalkan model Ultra mereka menerusi pelancaran rasmi siri F7.

Terus terang kami katakan, gelaran ‘Ultra’ ini bukan sekadar gimik. POCO F7 Ultra benar-benar layak mendapat perhatian dengan pemproses Snapdragon 8 Elite, iaitu cip paling canggih daripada Qualcomm setakat ini. Untuk makluman, POCO sememangnya terkenal sebagai jenama yang menawarkan telefon berkuasa dengan harga mampu milik, di mana mereka sering menggunakan cip generasi sebelumnya untuk mengekalkan harga rendah.

POCO F7 Ultra

Dengan F7 Ultra kini dilengkapi cip flagship terkini, ia jelas melangkah ke dalam segmen premium bersama pesaing baharu seperti siri Galaxy S25, ROG Phone 9, dan OPPO Find N5. Walaupun dikelilingi jenama berprestij, POCO F7 Ultra memegang satu gelaran yang mungkin paling penting: ia merupakan telefon Snapdragon 8 Elite paling mampu milik setakat ini, merampas kelebihan itu daripada iQOO 13, yang dilancarkan pada harga permulaan RM3,499.

Di Malaysia, POCO F7 Ultra dijual bermula RM2,999 untuk model 12GB RAM + 256GB storan. Jika anda sanggup berbelanja lebih sedikit, anda boleh dapatkan varian 16GB RAM + 512GB pada harga RM3,299—masih lebih murah berbanding harga permulaan iQOO 13.

Reka Bentuk

Daripada pengalaman ringkas kami, POCO F7 Ultra benar-benar tampak seperti peranti yang mahu tampil menyerlah. Dari segi rekaan, ia telah menerima perubahan ketara berbanding siri F6. Panel belakang F7 Ultra kini dihiasi dengan gabungan material berkilat dan kemasan matte. Modul kameranya pula disusun dalam reka bentuk bulat yang lebih kemas berbanding F6 Pro, disempurnakan dengan cincin aluminium berwarna gangsa yang berkilau apabila terkena cahaya.

Kamera POCO F7 Ultra

Telefon ini mengekalkan reka bentuk belakang melengkung yang premium, memberikan keselesaan pada tangan apabila digenggam. Bezel yang nipis juga menambah pengalaman tontonan yang lebih imersif.

Secara jujur, ini memang telefon yang mencuri perhatian—terutamanya dalam pilihan warna Kuning yang terang. Tapi bagi saya yang lebih sukakan gaya sederhana, warna Hitam terasa lebih sesuai dengan cita rasa saya.

Prestasi

Selain cip Snapdragon 8 Elite, POCO F7 Ultra turut memperkenalkan cip grafik khas mereka – VisionBoost D7. Ini antara ciri yang bakal memikat peminat game, khususnya mereka yang obses dengan Genshin Impact. Menurut POCO, gabungan dua cip ini membolehkan permainan sehingga 120FPS dalam Genshin Impact, bersama 2K Super Resolution dan Game HDR untuk kontras warna yang lebih kaya.

POCO turut menyatakan bahawa F7 Ultra mampu memberikan prestasi gaming lebih stabil berbanding pesaingnya—tanpa isu suhu berlebihan. Ini dibantu oleh LiquidCool Technology 4.0, yang dilengkapi paip haba gelung 5400mm² untuk penyebaran haba yang lebih efisien.

Genshin Impact di POCO F7 Ultra

Namun begitu, kapasiti bateri 5,300mAh pada F7 Ultra boleh dikatakan agak biasa—mungkin sedikit mengecewakan jika dibandingkan dengan telefon Snapdragon 8 Elite lain. Tetapi ini sekadar di atas kertas. Ujian penuh bateri belum dijalankan, jadi sukar untuk kami beri ulasan tepat.

Apa pun, kami gembira apabila mereka mengekalkan pengecasan berwayar 120W dan turut menyokong pengecasan tanpa wayar 50W—sesuatu yang sangat dialu-alukan.

Kamera

Seperti yang dijangkakan daripada kebanyakan telefon yang memfokuskan kepada pemain game, POCO F7 Ultra tidak menampilkan perkakasan kamera yang paling hebat. Namun, ia juga tidak mengecewakan. Malah, bagi saya, prestasinya berada di atas purata dari segi rendering warna dan ketajaman. Kelajuan mengambil gambar juga pantas, dan walaupun gambar waktu malam kelihatan terlebih diproses, hasilnya tetap agak memuaskan.

Sebagai rekod, F7 Ultra dilengkapi dengan sistem tiga lensa, dengan tumpuan utama pada kamera utama 50MP yang disokong oleh sensor Light Fusion 800. Ia turut dilengkapi lensa telefoto terapung dengan zum optikal 2.5x dan zum dalam sensor 5x, serta kamera ultra-lebar 32MP.

Melalui penggunaan pelbagai lensa, saya berjaya merakam beberapa gambar yang memuaskan sepanjang sesi ujian, seperti yang boleh anda lihat di bawah. Selain daripada ketepatan pengesanan tepi yang kurang memuaskan dalam tangkapan makro, saya tidak mempunyai banyak rungutan mengenai kameranya. Hakikatnya, prestasinya cukup mengagumkan, mencabar tanggapan bahawa semua telefon gaming mempunyai kamera yang tidak memuaskan.

Nota: Abaikan tarikh yang salah pada gambar. Editor secara tidak sengaja memasukkan tarikh dan bulan yang salah dalam tetapan.

Kesimpulan

Ianya masih terlalu awal, tetapi POCO F7 Ultra kelihatan sebagai salah satu telefon dengan nilai terbaik di pasaran. Ia sememangnya sebuah permata – tetapi persoalannya, adakah ia akan tersorok di sebalik persaingan yang sengit?

Sekali lagi, ini bukanlah ulasan penuh, tetapi sepanjang masa singkat saya menggunakannya, ia menunjukkan banyak kelebihan. Ia juga merupakan cadangan yang baik bagi pengguna yang mencari prestasi flagship pada harga yang berpatutan.

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!


    Pengalaman menonton wayang di rumah – Projektor Epson EF-22N


    By Joshua LIN March 27, 2025

    Epson EpiqVision Mini EF-22N ialah projektor laser mudah alih yang direka untuk memberikan pengalaman hiburan di rumah yang luar biasa.

    Bermula dari kotak, reka bentuknya memberikan vibe seperti R2-D2, berbeza daripada projektor berbentuk petak yang biasa. Reka bentuk ini membolehkannya berpusing 360 darjah dengan mudah, menjadikannya fleksibel untuk diletakkan di mana-mana sahaja dalam rumah dan menghala ke sebarang arah.

    Berikut adalah apa yang kami pelajari mengenai EF-22N:

    Projektor Epson EF-22N & remote control
    Pilihan terbaik untuk setiap ruang

    Pengalaman Skrin Besar yang Imersif

    Mampu memaparkan imej sehingga 150 inci dalam resolusi Full HD, EF-22N mengubah mana-mana ruang menjadi teater peribadi, sesuai untuk menonton filem, bermain permainan, atau menstrim rancangan kegemaran anda. Itu lebih besar daripada mana-mana TV konvensional di pasaran pada masa ini yang mencapai sehingga 100 inci. Dengan jarak tontonan yang biasa, ia benar-benar memberikan pengalaman ‘home theater’ yang mengagumkan.

    Memancar sehingga 150"

    Visual yang Cerah dan Berwarna-warni

    Menggunakan teknologi cahaya diod laser, ia boleh dihidupkan dalam masa 6 saat dan menghasilkan 1,000 lumen kecerahan warna dan putih, memastikan imej yang jelas dan terang walaupun dalam persekitaran yang bercahaya sederhana.

    Secara amnya, bilik kita berada dalam julat 300-600 lumen, jadi tontonan masih boleh dilakukan dalam keadaan pencahayaan ambien.

    Teknologi projektor laser tanpa mentol ini menawarkan warna HDR yang tajam dan menakjubkan serta memberikan pengalaman hampir bebas penyelenggaraan dengan jangka hayat sehingga 20,000 jam. Nisbah kontras 5,000,000:1 memastikan warna yang kaya dan mendalam pada skrin.

    Aplikasi Penstriman Terbina Dalam

    EF-22N dilengkapi dengan Google TV, Google Cast, Netflix, YouTube, dan Prime Video, serta boleh dikawal terus melalui alat kawalan jauh. Anda boleh menikmati rancangan dan filem kegemaran anda hanya dengan satu butang.

    Akses pantas ke Youtube, Netflix dan Prime Video
    Akses pantas ke semua aplikasi penstriman kegemaran anda – YouTube, Netflix, Prime Video.

    Teknologi Mesra Pengguna

    Teknologi proprietari Epson membolehkan penyelarasan saiz, fokus, dan penjajaran gambar secara masa nyata, memastikan pemasangan yang mudah di hampir mana-mana permukaan dalam hanya 1 saat. Ini meningkatkan kepelbagaian dan kebolehgunaan projektor, membolehkan anda membawanya ke mana-mana bilik.

    Melihat kepada port IO di bahagian belakang, selain sambungan tanpa wayar, anda juga boleh menyambungkan peranti HDMI seperti komputer riba atau komputer serta pemacu USB-A yang mengandungi gambar dan filem anda.

    Projektor Epson EF-22N

    Audio Berkualiti Tinggi

    Projektor ini dilengkapi dengan dua pembesar suara 5W yang menyokong audio Dolby®, memberikan kualiti bunyi yang mengagumkan dan meningkatkan pengalaman tontonan secara keseluruhan. Semasa ujian kami, kami sangat terpukau dengan bunyi yang dihasilkan ketika menonton filem dan video YouTube.

    Kesimpulan

    Secara keseluruhan, projektor mini Epson EF22-N adalah sebuah projektor yang sangat hebat, dari reka bentuk luaran yang moden hingga ciri pintar yang ditawarkannya. Ia merupakan pilihan terbaik bagi mereka yang mencari projektor mudah alih yang serba boleh dan berkualiti tinggi untuk hiburan di rumah.

    Pembeli yang berminat boleh mendapatkan Epson EF22-N melalui kedai rasmi Epson di Shopee atau Lazada, serta pengedar sah seperti TMT dan ALL IT Hypermart. Pada tarikh penerbitan ini, ia disenaraikan pada harga RM4,689.