GXBank tawar peluang menang pulangan tunai 100% ke atas pengeluaran pinjaman dengan FlexiCredit

Bank digital GXBank kini menjalankan kempen khas di mana pengguna boleh menikmati 1% pulangan tunai ke atas pengeluaran pinjaman mereka. Selain itu, pengguna juga berpeluang memenangi 10% pulangan tunai, atau hadiah utama 100% pulangan tunai ke atas jumlah pengeluaran pinjaman mereka.
Setiap kategori kempen ini mempunyai mekanisme yang berbeza, tetapi semua memerlukan pengguna mempunyai akaun FlexiCredit aktif dalam aplikasi GXBank serta melakukan pengeluaran pinjaman sekurang-kurangnya RM1,000.
Kempen ini berlangsung dari 3 Mac hingga 30 April 2025. Berikut adalah butiran lengkap mengenai setiap kategori serta cara untuk menyertai.
Nikmati 1% pulangan tunai ke atas pengeluaran pinjaman

Sepanjang tempoh kempen, GXBank menawarkan 1% pulangan tunai bagi setiap pengeluaran pinjaman sekurang-kurangnya RM1,000 dengan tempoh minimum 12 bulan.
Pengguna akan layak menerima 1% pulangan tunai hanya selepas melengkapkan bayaran ansuran bulan pertama dan kedua. Pulangan tunai tersebut akan dikreditkan ke dalam Akaun GX mereka dalam tempoh tujuh hari bekerja.
Jumlah maksimum pulangan tunai yang boleh diterima pengguna adalah RM500.
Menangi 10% pulangan tunai setiap minggu

Selain itu, pengguna juga berpeluang memenangi 10% pulangan tunai sekiranya mereka menjadi pengeluaran pinjaman ke-1,000 dalam seminggu di kalangan semua pelanggan. Untuk layak, pengguna perlu melakukan pengeluaran sekurang-kurangnya RM1,000 dengan tempoh minimum 12 bulan.
Sekiranya seseorang pengguna menjadi individu bertuah yang melakukan pengeluaran pinjaman ke-1,000 minggu tersebut, mereka perlu menjawab soalan mudah berkaitan GXBank untuk memenangi 10% pulangan tunai.
Pemenang akan dihubungi oleh GXBank melalui talian 03-7498 3188, dan pulangan tunai akan dikreditkan ke dalam Akaun GX pengguna dalam masa tujuh hari bekerja selepas kempen tamat setiap minggu.
Kempen ini berlangsung selama lapan minggu, dari 3 Mac hingga 30 April 2025, dengan lapan pemenang akan dipilih sepanjang tempoh kempen. Berikut adalah jadual mingguan kempen:
- Minggu 1: 3 Mac – 9 Mac 2025
- Minggu 2: 10 Mac – 16 Mac 2025
- Minggu 3: 17 Mac – 23 Mac 2025
- Minggu 4: 24 Mac – 30 Mac 2025
- Minggu 5: 31 Mac – 6 April 2025
- Minggu 6: 7 April – 13 April 2025
- Minggu 7: 14 April – 20 April 2025
- Minggu 8: 21 April – 27 April 2025
Menangi pulangan tunai 100% ke atas pengeluaran pinjaman

Akhir sekali, untuk hadiah utama, pengguna berpeluang memenangi pulangan tunai 100% penuh ke atas pengeluaran pinjaman mereka.
Sekali lagi, hanya pengguna yang membuat pengeluaran sekurang-kurangnya RM1,000 dengan tempoh minimum 12 bulan sepanjang tempoh kempen layak untuk menyertai. Namun, bagi menambahkan keseronokan, GXBank telah menetapkan bahawa setiap pengeluaran RM1,000 akan meningkatkan peluang anda untuk menang sebanyak 10 kali ganda. Ini bermakna, lebih banyak anda membuat pengeluaran, lebih tinggi peluang anda untuk menang!
Pada akhir kempen, seorang pelanggan akan dipilih secara rawak daripada keseluruhan penyertaan pengeluaran yang layak. Jika terpilih, pengguna perlu menjawab satu soalan mudah berkaitan GXBank dengan betul untuk memenangi hadiah utama pulangan tunai 100%.
Pemenang bertuah akan dihubungi oleh GXBank melalui talian 03-7498 3188, selepas itu pulangan tunai akan dikreditkan ke Akaun GX mereka dalam tempoh tujuh hari bekerja selepas 30 April 2025.

Menurut halaman rasmi kempen GXBank, pengguna boleh memenangi pulangan tunai dalam ketiga-tiga kategori ini sekiranya mereka cukup bertuah! Layari laman kempen pulangan tunai FlexiCredit GXBank untuk maklumat lanjut.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!