Sarung iPhone 17 Tertiris Dedah Reka Bentuk Akhir, Warna Juga Disahkan

Gambar rekaan iPhone sudah mula terbongkar sejak beberapa bulan lalu. Tapi kini, sarung telefon yang tular baru-baru ini memberi bayangan jelas tentang rupa sebenar iPhone 17 nanti.
Dari segi reka bentuk, ia bukan sesuatu yang asing. Melihat pada bentuk sarungnya, model iPhone 17 Pro dan Pro Max dijangka akan menggunakan panel kamera yang menempatkan tiga lensa. Apabila imej rekaan ini mula tersebar dahulu, kami pernah menyatakan bahawa ia sangat menyerupai POCO F6 Pro — dan kami masih berpegang pada pendapat itu.

Selain model Pro, terdapat juga sarung yang direka untuk iPhone dengan satu kamera, yang dipercayai adalah iPhone 17 Air. Kalau anda belum tahu, model Air dikatakan akan menjadi iPhone paling ringan dalam siri ini dan dijangka menggantikan model Plus.

Dalam laporan berasingan, Macworld mendakwa mereka telah mendapat maklumat mengenai pilihan warna untuk siri iPhone 17. Menurut mereka, iPhone 17 versi asas akan ditawarkan dalam warna hitam dan putih, serta beberapa pilihan baharu seperti kelabu keluli, hijau, ungu dan biru muda. Sementara itu, iPhone 17 Air pula dikatakan akan hadir dalam warna hitam, putih, biru muda dan emas muda.
Menariknya, model iPhone 17 Pro dan Pro Max berkemungkinan akan hadir dengan pilihan warna jingga yang belum pernah diperkenalkan sebelum ini, selain warna hitam, putih, kelabu dan biru gelap.


Apple masih belum menetapkan tarikh rasmi untuk pelancaran iPhone 17, tetapi jika semuanya berjalan seperti biasa, peranti ini dijangka akan diumumkan pada bulan September, seperti kebiasaan mereka sebelum ini.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

