Ciri “Try-On” Maya Baharu Google Bakal Selesaikan Dilema Beli-Belah Dalam Talian Anda

Pernah beli pakaian dalam talian yang langsung tidak menepati jangkaan? Nampaknya Google menyedari isu ini dan kini cuba menyelesaikannya dengan bantuan AI.
Acara Google I/O 2025 menjadi pentas kepada Google untuk mempamerkan pelbagai ciri baharu berkuasa AI. Daripada semua demonstrasi, yang paling mencuri perhatian ialah ciri maya “Try it on”.
Seperti yang tersirat dalam namanya, alat beli-belah baharu berasaskan AI ini membolehkan pengguna menjana gambar mereka sendiri dengan mengenakan pakaian yang ingin dibeli ketika melayari tab Shopping.

Berdasarkan demonstrasi yang ditunjukkan, prosesnya semudah menekan butang pop-up “Try it on” yang akan muncul di bahagian bawah imej produk. Anda perlu memuat naik gambar penuh diri anda, sebaiknya dengan latar belakang kosong. Google memaklumkan bahawa model penjanaan imej khas yang menjana ciri ini telah dilatih khusus untuk fesyen, dan akan menyesuaikan pakaian dengan pelbagai pose tubuh.

Setelah anda membuat keputusan untuk membeli, anda boleh menetapkan julat harga yang sanggup dibayar. Google kemudiannya akan memantau item tersebut dan memberi notifikasi apabila harganya turun dalam julat yang ditetapkan.

Berdasarkan demo yang ditunjukkan, ciri maya Try-on ini hanya akan tersedia secara natif di tab Shopping Google. Buat masa ini, masih belum jelas sama ada ia akan menyokong aplikasi pihak ketiga seperti Shopee, Lazada, atau Temu.
Ciri maya Try-it-on ini masih belum dilancarkan sepenuhnya. Google menyatakan ia akan mula diperkenalkan dalam beberapa bulan akan datang, namun pengguna di A.S. sudah boleh mencubanya melalui Search Labs mulai hari ini.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

