Laman Utama / Gajet / Apple Dilaporkan Sedang Bangunkan Cermin Mata Pintar untuk Bersaing dengan Meta

Apple Dilaporkan Sedang Bangunkan Cermin Mata Pintar untuk Bersaing dengan Meta


By Editor Julai 17, 2025

Desas-desus mengatakan Apple kini sedang membangunkan versi tersendiri bagi cermin mata pintar, dalam usaha yang dilihat sebagai persaingan langsung kepada cermin mata AI keluaran Meta. Cermin mata AI Meta semakin mendapat perhatian sejak kebelakangan ini, terutamanya dengan kerjasama bersama jenama fesyen terkenal seperti Ray-Ban dan Oakley yang menambah daya tarikannya.

Buat masa ini belum dapat dipastikan sama ada Apple akan menjalinkan kerjasama dengan jenama fesyen atau memilih untuk melancarkannya secara solo.

Sekiranya cermin mata pintar ini direalisasikan, ia berkemungkinan besar akan menjadi aksesori tambahan kepada iPhone—seperti Apple Watch atau AirPods—dan sebahagian daripada ekosistem Apple, dengan semua sistem operasi berfungsi secara harmoni untuk pengalaman pengguna yang lancar.

Oakley Meta HSTN Edisi Terhad
Kredit Gambar: Meta

Menurut MacRumors, cermin mata pintar ini akan ditawarkan dalam rangka logam dan plastik, dengan pilihan kanta biasa atau kanta hitam (sunglasses). Ia dijangka tidak akan menyimpang jauh daripada formula yang telah dibuktikan oleh Meta. Antara ciri yang boleh dijangka termasuk kamera terbina dalam, mikrofon serta lampu LED yang menyala apabila rakaman sedang dilakukan.

Satu ciri yang sedang dibangunkan dan mungkin menjadi keunikan utama cermin mata Apple ialah integrasi Visual Intelligence—di mana pengguna hanya perlu melihat sesuatu objek, bertanyakan soalan, dan memberi arahan seperti, “tambah ke kalendar” selepas melihat poster konsert, misalnya.

Setakat ini, tiada tarikh pelancaran rasmi diumumkan—dan mungkin ia tidak akan keluar dari bangunan R&D langsung. Namun jika projek ini diteruskan, menurut Mark Gurman dari Bloomberg, ia mungkin dilancarkan seawal tahun 2026.

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!