Apple Sahkan Isu Kuasa pada Beberapa Unit Mac mini (2023)—Ini Apa yang Anda Perlu Buat

Jika anda membeli Mac mini (2023) dan ia tiba-tiba tidak boleh dihidupkan, anda bukan satu-satunya. Apple telah mengesahkan bahawa sejumlah kecil unit Mac mini dengan cip M2—yang dijual antara 16 Jun hingga 23 November 2024—mungkin mengalami masalah kuasa yang menyebabkan peranti langsung tidak boleh digunakan.
Dalam kenyataan yang dikongsi di laman sokongan Apple Malaysia, Apple berkata:
“Apple telah mengenal pasti bahawa sebilangan kecil peranti Mac mini (2023) dengan cip M2 mungkin tidak lagi boleh dihidupkan. Peranti yang terjejas telah dikeluarkan antara 16 Jun 2024 hingga 23 November 2024.”

Bagi membantu pengguna, Apple kini menawarkan pembaikan percuma untuk unit yang terjejas. Apa yang anda perlu lakukan ialah lawati laman web Apple dan guna pemeriksa Nombor Siri untuk melihat sama ada Mac mini anda layak atau tidak. Jika ya, anda boleh membawanya ke Apple atau mana-mana penyedia servis bertauliah di Malaysia untuk dibaiki secara percuma.
Anda memerlukan nombor siri Mac mini anda untuk membuat semakan, dan jika tidak pasti di mana hendak mencarinya, Apple turut menyediakan panduan ringkas.
Perlu diingat bahawa program servis ini tidak akan melanjutkan jaminan Mac anda, tetapi ia akan melindungi peranti yang layak sehingga tiga tahun dari tarikh pembelian.
Sumber [1] Apple Malaysia

