Laman Utama / Gajet / Apple iOS 26: Reka Bentuk Liquid Glass, Carian Imej Visual Intelligence dan Banyak Lagi

Apple iOS 26: Reka Bentuk Liquid Glass, Carian Imej Visual Intelligence dan Banyak Lagi


By Editor Jun 10, 2025

Persidangan Pembangun Sedunia (WWDC) tahunan Apple kini berlangsung, membawa pelbagai kemas kini untuk sistem operasinya. Salah satu pengumuman pertama: Apple akan menyeragamkan penamaan OS mereka, selaras dengan tahun keluaran dan bukannya model peranti.

Ini bermaksud versi iOS yang akan datang pada tahun 2026 akan dipanggil iOS 26. Pendekatan penamaan yang sama juga akan digunakan untuk watchOS, tvOS, macOS, iPadOS dan visionOS.

Dengan itu, mari lihat apa yang menanti dalam iOS 26.

Reka Bentuk Baharu ‘Liquid Glass’

Seperti yang dijangka daripada laporan sebelum WWDC 2025, Apple telah memperkenalkan bahasa reka bentuk baharu untuk iOS 26 yang dinamakan “Liquid Glass.” Estetik baharu ini paling ketara pada jam skrin kunci, yang kini menampilkan kesan seperti kaca. Menariknya, jam akan menyesuaikan kedudukannya apabila notifikasi muncul, memastikan ia sentiasa kelihatan.

Antara muka Liquid Glass ini direka untuk meniru permukaan lut sinar yang bertindak balas terhadap cahaya dan beralih secara halus berdasarkan kandungan dan interaksi di skrin.

Antara Muka Lebih Kemas dan Menarik

Terdapat juga beberapa perubahan reka bentuk yang menjadikan iOS 26 lebih imersif. Ini termasuk paparan penuh seni album dalam aplikasi Music dan susun atur antara muka kamera baharu yang memudahkan pertukaran antara mod Foto dan Video.

Safari kini mengisi skrin sepenuhnya dari tepi ke tepi. Bar tab – yang mengandungi medan URL, bar carian, dan tindakan lain seperti muat semula dan tab baharu – telah direka semula untuk terapung di atas halaman web.

Kecerdasan Visual (Visual Intelligence)

Masih ingat fungsi Circle to Search dari Google? Ia mungkin mengambil masa, tetapi Apple akhirnya membangunkan sesuatu yang serupa melalui Visual Intelligence. Pengguna boleh mengambil tangkapan skrin sesuatu perkara, kemudian ketik ‘Image Search’ di penjuru kanan bawah untuk mencari imej serupa di Google atau aplikasi lain seperti Etsy dan Pinterest.

Pengguna juga boleh menyorot bahagian tertentu imej untuk memperhalusi carian, seakan-akan gerakan bulatan dalam Circle to Search.

Selain Carian Imej, pengguna boleh mengetik butang ‘Ask’ di kiri bawah untuk akses kepada ChatGPT dan mengetahui lebih lanjut tentang topik tersebut. Visual Intelligence turut mengesan poster acara dan membenarkan pengguna menambahnya terus ke kalendar melalui butang ‘Add to Calendar’.

Penyaringan Panggilan (Call Screening)

Diganggu nombor spam? iOS 26 akan membantu anda menapis panggilan tidak dikenali dan hanya berdering apabila pemanggil dikenalpasti. Call Screening akan menjawab secara senyap panggilan daripada nombor tidak dikenali. Apabila pemanggil memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan, telefon anda akan berdering.

Pengguna boleh lihat siapa pemanggil dan sebabnya sebelum membuat keputusan sama ada untuk menjawab atau menolak panggilan.

Hold Assist

Hold Assist akhirnya tiba di iPhone. Ciri ini akan mengesan bila anda diletakkan dalam mod “tunggu” semasa panggilan khidmat pelanggan. Anda boleh letak telefon dan lakukan rutin harian tanpa perlu tunggu di talian.

Anda akan menerima notifikasi apabila ejen kembali ke talian supaya anda boleh sambung semula perbualan.

Terjemahan Langsung (Live Translation)

Live Translation, dikuasakan oleh Apple Intelligence, kini disepadukan dalam Messages, FaceTime, dan Phone. Menurut Apple, fungsi ini berjalan sepenuhnya di peranti dan tidak memerlukan sambungan internet.

Ia menyediakan terjemahan dua hala untuk teks dan panggilan suara. Dalam Phone, mesej anda akan diterjemah dan disampaikan kepada penerima, dan balasan mereka diterjemah kembali ke bahasa pilihan anda. Dalam FaceTime, sari kata langsung akan dipaparkan sepanjang perbualan.

Apple Music: Terjemahan Lirik, Sebutan dan AutoMix

Apple turut memperkenalkan fungsi Terjemahan Lirik dalam Apple Music, jadi anda kini boleh faham maksud lagu seperti Despacito. Selain itu, fungsi Sebutan Lirik akan menunjukkan cara menyebut lirik dengan betul.

Bagus secara teori, tetapi bagaimana ia akan mengendalikan bahasa Mandarin masih menjadi persoalan.

Tambahan pula, fungsi AutoMix baharu dalam Music akan menyambungkan hujung lagu dengan permulaan lagu seterusnya – seakan DJ.

Banyak lagi yang diumumkan di WWDC 2025. Jika anda ingin menonton keseluruhan keynote, anda boleh tonton di saluran rasmi YouTube Apple.

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!