Laman Utama / Gaya Hidup / Aplikasi Ini Tidak Akan Buka Telefon Anda Selagi Anda Tidak Sentuh Rumput

Aplikasi Ini Tidak Akan Buka Telefon Anda Selagi Anda Tidak Sentuh Rumput


By Zulzikri Sunar Julai 15, 2025

Kepada kaki skrol tanpa henti dan mereka yang sakit leher akibat terlalu lama tunduk depan skrin, mungkin sudah tiba masanya untuk letak telefon anda dan keluar rumah — untuk sentuh rumput. Jika sukar untuk berhenti daripada memegang telefon, aplikasi baharu ini mungkin boleh membantu anda keluar dari ‘gua’ dan menikmati cahaya matahari.

Aplikasi yang dinamakan touch grass ini dibangunkan oleh pembangun, Rhys Kentish, bagi membantu pengguna yang ingin mengawal masa penggunaan telefon. Dalam temu bual bersama TechCrunch, Rhys berkata dia sendiri bergelut dengan penggunaan skrin yang berlebihan dan bahawa dia “ingin hentikan tabiat mencapai telefon setiap pagi dan melayari berita buruk selama sejam dua sebelum memulakan hari.”

Fungsi utama aplikasi touch grass cukup ringkas: ia akan mengunci aplikasi-aplikasi yang mengganggu tumpuan untuk tempoh masa tertentu. Pengguna boleh menunggu sehingga masa tamat, atau – jika ingin membukanya lebih awal – perlu keluar dan ambil gambar diri sendiri sedang menyentuh rumput secara fizikal.

Dan ia mesti rumput sebenar. Menurut laporan TechCrunch, tumbuhan hiasan dalam rumah atau pokok renek di tepi jalan tidak diterima. Aplikasi ini menggunakan teknologi penglihatan komputer berasaskan AI untuk mengenal pasti imej, dan akan mengesan serta menegur jika pengguna cuba menipu sistem.

Kredit Gambar: TechCrunch

Ada satu cara untuk “membebaskan” aplikasi yang dikunci tanpa perlu menunggu tamatnya masa atau menyentuh rumput — iaitu dengan membayar sejumlah wang. Pengguna boleh memilih untuk membayar antara $0.99 hingga $9.99 untuk membuka semula aplikasi tersebut. Walaupun jumlahnya tidak besar, tetapi duit tetap duit. Jadi, lebih baik keluar dan sentuh rumput sahaja, bukan?

Jika anda memilih untuk membayar, perlu diketahui bahawa separuh daripada jumlah bayaran tersebut akan disalurkan kepada badan amal berdaftar Rewilding Britain. Jadi, sumbangan anda tetap memberi manfaat kepada alam sekitar.

Tempoh aplikasi ‘dipenjarakan’ bergantung kepada pilihan sekatan yang ditetapkan oleh pengguna. Pilihan ‘Quick Break’ mengunci aplikasi antara 15 hingga 60 minit; ‘Medium Break’ pula selama 30 hingga 120 minit; manakala ‘Rest of Day’ akan menghalang akses sehingga tengah malam. Terdapat juga pilihan ‘Smart Break’ yang menggunakan lokasi dan waktu semasa untuk menentukan tempoh sekatan secara automatik.

Aplikasi touch grass boleh dimuat turun secara percuma, tetapi versi percuma hanya membenarkan dua aplikasi dikunci pada satu-satu masa. Untuk lebih kawalan, pengguna boleh melanggan versi premium pada harga $5.99 (~RM25.50) sebulan atau $49.99 (~RM212.78) setahun. Langganan ini membolehkan lebih banyak aplikasi dikunci — ibarat membayar untuk memperluas “penjara digital” anda sendiri, demi kebaikan diri juga, pastinya.

Penggunaan skrin secara berlebihan kini menjadi isu global yang tidak mengenal usia. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan skrin yang terlalu lama boleh menyebabkan penipisan korteks serebrum, bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap fungsi kognitif seperti ingatan, pembelajaran dan penyelesaian masalah. Selain itu, terlalu kerap melayari media sosial juga boleh menyebabkan peningkatan tahap stres dan kebimbangan.

Aplikasi touch grass hanya akan berkesan jika pengguna benar-benar bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam usaha mengurangkan masa skrin. Ia bukanlah penawar sepenuhnya, sebaliknya berfungsi sebagai alat sokongan sementara pengguna belajar untuk menjauhkan diri secara sukarela daripada gaya hidup yang terlalu bergantung kepada telefon.

Aplikasi touch grass boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store. Versi untuk Android sedang dibangunkan, dan pengguna Android kini boleh mendaftar dalam senarai menunggu untuk menjadi antara yang terawal mencubanya apabila dilancarkan nanti.

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

This image has an empty alt attribute; its file name is WordPress-article-footer-6.png