Samsung Galaxy Z Fold 7: RM800 Lebih Mahal, Tapi Apa Yang Baharu?

Acara tahunan Galaxy Unpacked oleh Samsung telah pun berakhir, di mana gergasi teknologi dari Korea itu memperkenalkan generasi baharu peranti boleh lipatnya. Tumpuan utama adalah Galaxy Z Fold 7 yang kini hadir dengan harga permulaan yang mengejutkan – RM7,799 di Malaysia – iaitu RM500 lebih mahal berbanding Z Fold 6, tahun lalu.
Namun begitu, telefon ini menjanjikan peningkatan perkakasan secara berperingkat yang mungkin dihargai oleh peminat peranti boleh lipat.
Z Fold 7 ialah “Peranti Boleh Lipat Ternipis Samsung Setakat Ini”

Kredit harus diberi kepada Samsung kerana berjaya menjadikan Z Fold 7 lebih nipis dengan ketara. Z Fold 7 kini hanya setebal 8.9mm apabila dilipat, dan 4.2mm apabila dibuka. Sebagai perbandingan, Z Fold 6 tahun lalu setebal 12.1mm apabila dilipat dan 5.6mm apabila dibuka.
Selain itu, Z Fold 7 juga 24g lebih ringan, dengan berat hanya 215g.
Dengan dimensi ini, Z Fold 7 setanding dengan OPPO Find N5 yang mempunyai ketebalan 8.93mm (dilipat) dan 4.21mm (dibuka). Persaingan dijangka lebih sengit apabila HONOR melancarkan Magic V5 hujung bulan ini, yang digembar-gemburkan sebagai peranti boleh lipat paling nipis di dunia.
Paparan Skrin Lebih Besar

Galaxy Z Fold 7 kini mempunyai paparan yang lebih luas dengan resolusi lebih tinggi. Paparan luarannya kini bersaiz 6.5 inci, menggunakan Dynamic AMOLED 2X, resolusi FHD+ (2520×1080), dan kadar segar semula 120Hz. Apabila dibuka, peranti ini menampilkan skrin Dynamic AMOLED 2X bersaiz 8 inci, dengan resolusi QXGA+ (2184×1968) dan kadar segar semula 120Hz.
Sebaliknya, Z Fold 6 hanya mempunyai skrin luar 6.3″ dengan resolusi HD+, dan paparan dalaman hanya 7.6″ dengan resolusi QXGA+.
Dikuasakan oleh Snapdragon 8 Elite
Peningkatan pemproses adalah sesuatu yang sudah boleh dijangka sejak awal. Sekali lagi, dengan tanda harga yang hampir mencecah lima angka, memang mustahil untuk melihat Samsung berkompromi dengan sesuatu yang kurang. Snapdragon 8 Elite sudah pasti akan meningkatkan prestasi dalam penggunaan umum dan juga dalam aspek AI.
Dari segi angka, Samsung mengatakan pemproses ini meningkatkan prestasi CPU sebanyak 38%, prestasi NPU sebanyak 41%, dan prestasi GPU sebanyak 26%.
Kamera Lebar 200MP, Penambahbaikan pada Kamera Bawah Paparan

Samsung telah menggantikan kamera utama 50MP dengan kamera lebar 200MP yang hadir bersama sensor imej 44% lebih besar. Ini menjanjikan kejelasan zum yang lebih baik, serta prestasi cahaya rendah yang lebih mantap. Kamera ultra-lebar dan telefoto masih kekal masing-masing pada 12MP dan 10MP.
Di bahagian lain, kamera bawah paparan 4MP kini dinaik taraf kepada 10MP, manakala kamera utama pada skrin utama kekal pada 10MP.
Ciri Galaxy AI Baharu
Pada setiap telefon Samsung yang dilancarkan mulai tahun 2024 dan seterusnya, terletaknya nadi utama Samsung iaitu Galaxy AI. Dalam acara Galaxy Unpacked, Samsung mengambil peluang untuk memperkenalkan beberapa ciri AI menarik, termasuk Gemini Live. Ia boleh diibaratkan sebagai rakan AI yang berinteraksi dengan anda melalui kamera.
Pengguna hanya perlu halakan kamera ke arah subjek, seperti bahagian dalam peti sejuk, dan minta cadangan resipi. Dalam demo, ia juga mampu memberi ulasan gaya pemakaian (fit check) dan mencadangkan cara untuk menambah seri pada penampilan anda. Malah, ia boleh memindahkan info konsert dari poster ke kalendar anda hanya melalui arahan suara dan visual.
Samsung turut memperkenalkan ciri baharu Audio Eraser, yang boleh menghapuskan bunyi latar dalam video untuk menjadikan suara lebih jelas.
Selain itu, Samsung juga mengingatkan pengguna tentang beberapa ciri sedia ada seperti AI Summary, Writing Assist, Drawing Assist, dan Transcript Assist.
Apa Yang TIDAK Baharu?

Walaupun banyak ciri baharu diperkenalkan, namun masih ada yang dikekalkan. Z Fold 7 masih mengekalkan kapasiti bateri 4,400mAh. Kelajuan pengecasan belum diumumkan secara rasmi, tetapi kita boleh menjangkakan perkara yang sama, iaitu 25W berwayar dan 15W tanpa wayar. Perlindungan juga masih pada tahap IP48, sama seperti Z Fold 6.
Samsung juga mengekalkan varian 12GB/256GB dan 12GB/512GB. Namun, konfigurasi tertinggi kini 16GB/1TB berbanding 12GB/1TB sebelum ini.
Harga Samsung Galaxy Z Fold 7 di Malaysia

Seperti dinyatakan, Galaxy Z Fold 7 berharga RM500 lebih mahal daripada tahun sebelumnya. Butiran penuh harga adalah seperti berikut:
- Galaxy Z Fold 7 (12GB/256GB) – RM7,799
- Galaxy Z Fold 7 (12GB/512GB) – RM8,399
- Galaxy Z Fold 7 (16GB/1TB) – RM9,899

Jika anda tertanya-tanya sejauh mana harga model ini telah meningkat — Z Fold 6 dijual pada harga RM7,299 untuk konfigurasi 12GB/256GB, manakala RM7,899 untuk model 12GB/512GB, dan RM9,099 untuk model 12GB/1TB.
Dengan harga maksimum kini mencecah RM9,899, sukar untuk tidak berfikir bahawa telefon lipat gaya buku dengan harga lima angka mungkin hanya setahun lagi dari menjadi kenyataan.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

