Laman Utama / Telco (BM) / Ini Apa Kata Syarikat Telco Utama Malaysia Mengenai Arahan MCMC Untuk Serah Data Telefon Bimbit

Ini Apa Kata Syarikat Telco Utama Malaysia Mengenai Arahan MCMC Untuk Serah Data Telefon Bimbit


By PriceShop News Jun 10, 2025

Berikutan permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) menyerahkan data telefon bimbit (MPD), syarikat-syarikat telco utama negara telah mengeluarkan kenyataan bagi meyakinkan pelanggan bahawa data mereka kekal selamat.

Sebagai imbasan, pada 6 Jun 2025, MCMC mengarahkan syarikat telco menyerahkan rekod penggunaan internet dan panggilan telefon pengguna. Langkah ini menerima kritikan hebat dari orang ramai yang melihatnya sebagai pelanggaran privasi. Namun, MCMC telah memberi jaminan bahawa data yang dikumpul tidak mengandungi Maklumat Boleh Mengenal Pasti Individu (PII), dan identiti pengguna kekal tanpa nama.

Situasi ini mendorong syarikat telco utama Malaysia untuk tampil memberikan penjelasan rasmi, menegaskan bahawa privasi data pelanggan terus menjadi keutamaan. Jika anda pengguna Maxis, CelcomDigi, U Mobile atau TM – berikut merupakan kenyataan mereka.

Maxis

Maxis merujuk kepada kenyataan media oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 6 Jun 2025 mengenai pengumpulan Data Telefon Bimbit. Sebagai sebuah syarikat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang bertanggungjawab, Maxis memberikan keutamaan tertinggi terhadap privasi dan keselamatan data.

Bagi inisiatif ini yang diminta oleh SKMM, tiada akses kepada, pemprosesan, atau perkongsian maklumat pengenalan peribadi pada sebarang peringkat. Kesemua data dianonimkan oleh Maxis dan diproses secara agregat dalam persekitaran yang selamat, mematuhi sepenuhnya Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

Proses-proses dan langkah-langkah kawalan sedia ada telah dilaksanakan untuk memastikan data peribadi pelanggan tidak akan dikompromi. Maxis kekal komited sepenuhnya kepada melindungi data untuk semua pelanggan kami.

Baca kenyataan penuh di Maxis Newsroom

CelcomDigi

Kami mengambil maklum perbincangan semasa dan pertanyaan orang awam berkenaan inisiatif Data Telefon Bimbit oleh MCMC. CelcomDigi terus bekerjasama rapat dengan MCMC bagi menyokong inisiatif kerajaan tanpa menjejaskan integriti data pelanggan. Kami telah mengadakan perbincangan terus dengan Suruhanjaya serta melalui forum industri untuk memastikan tadbir urus kukuh dalam analisis data pelanggan. CelcomDigi akan memastikan data diproses dalam persekitaran selamat dan hanya menyediakan sampel terhad dalam bentuk yang dinyahnamakan dan diagregatkan. Kami sentiasa beroperasi dengan protokol keselamatan yang ketat dan mematuhi undang-undang serta peraturan perlindungan data yang berkaitan.

Baca kenyataan penuh di CelcomDigi Newsroom

U Mobile

Merujuk kepada kenyataan MCMC bertarikh 6 Jun 2025 mengenai penggunaan data telefon bimbit (MPD) untuk tujuan statistik rasmi, U Mobile mengesahkan bahawa privasi dan perlindungan data pelanggan kami adalah keutamaan.

Kami memahami objektif inisiatif ini dan komited untuk bekerjasama dengan MCMC secara patuh dan beretika. U Mobile telah menetapkan polisi dan proses dalaman bagi memastikan semua data yang dikongsi telah dinyahnamakan dan diagregatkan sepenuhnya mengikut undang-undang perlindungan data.

Tiada Maklumat Boleh Mengenal Pasti Individu (PII) akan dikongsi atau diproses pada bila-bila masa.

U Mobile kekal komited dalam menjaga privasi pelanggan serta pematuhan kepada peraturan sedia ada.

Baca kenyataan penuh di U Mobile Newsroom

TM

Merujuk kepada kenyataan media oleh MCMC pada 6 Jun 2025, TM ingin menjelaskan bahawa semua Data Telefon Bimbit (MPD) yang diserahkan adalah dinyahnamakan sepenuhnya dan tidak mengandungi maklumat boleh dikenal pasti secara peribadi.

Penyerahan data ini dilakukan di bawah tadbir urus serta protokol keselamatan yang ketat, dan mematuhi sepenuhnya dasar dalaman serta undang-undang dan keperluan peraturan nasional.

TM komited sepenuhnya dalam memastikan keselamatan dan privasi data pelanggan dikekalkan dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

Baca kenyataan penuh di TM Newsroom

Sumber: [1] Maxis, [2] CelcomDigi, [3] U Mobile, [4] TM

Baca lebih banyak artikel kami di bawah!