AEON Bank perkenal Pembiayaan Peribadi-i Patuh Syariah sehingga RM10,000

AEON Bank, bank digital Islam pertama di Malaysia, telah melancarkan skim pembiayaan peribadi patuh Syariah, Personal Financing-i. Melalui skim ini, pengguna boleh memohon pinjaman peribadi dengan mudah menerusi aplikasi AEON Bank.
Menurut laman web rasmi, Personal Financing-i menawarkan jumlah pinjaman antara RM1,000 hingga RM10,000 dengan tempoh ansuran fleksibel dari 3 hingga 24 bulan (2 tahun). Pemohon akan dikenakan kadar keuntungan tetap sebanyak 6.88% setahun (p.a.).

Skim Personal Financing-i ini terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 18 hingga 55 tahun dengan pendapatan kasar bulanan minimum RM3,000. Pekerja gig dan individu yang memperoleh pendapatan berasaskan komisen tanpa gaji tetap juga layak memohon.
Bagi pemohon yang bekerja makan gaji, mereka perlu mengemukakan Penyata Terperinci KWSP (EPF) terkini dengan sekurang-kurangnya enam bulan caruman.
Manakala, individu bekerja sendiri atau berasaskan komisen perlu menyerahkan penyata bank terkini bagi tempoh enam bulan.

Setelah permohonan diluluskan, pengguna akan menerima notifikasi melalui aplikasi dan boleh memilih untuk menerima atau menolak pinjaman tersebut. Jika diterima, AEON Bank akan memasukkan jumlah pinjaman terus ke dalam Akaun Simpanan-i AEON Bank pengguna.
Untuk maklumat lanjut mengenai Personal Financing-i AEON Bank, sila layari laman web rasmi.
Sumber [1] AEON Bank
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!