Laman Utama / Kereta / EVs / Adakah kenderaan elektrik selamat digunakan dan dicas semasa hujan?

Adakah kenderaan elektrik selamat digunakan dan dicas semasa hujan?


Julai 17, 2024

Seperti yang diketahui umum, air dan elektrik tidak serasi apabila digabungkan. Kenderaan elektrik mempunyai pek bateri yang disimpan di bawah kabin, yang merangkumi keseluruhan bahagian bawah kenderaan.

Bagi sesetengah kereta, pek bateri juga berfungsi sebagai alat penting dalam struktur kenderaan. Oleh kerana, ianya juga menyumbang kepada sebahagian besar berat kereta, di mana pusat graviti keseluruhan adalah lebih rendah berbanding dengan kenderaan ICE konvensional. Inilah yang menjadikan kenderaan elektrik lebih stabil dan lebih mudah dikendalikan.

Pek bateri dan wayar dalam kenderaan elektrik diasingkan dengan baik untuk menjamin keselamatan pemandu dan penumpang. Jika anda belum tahu, pek bateri dalam kebanyakan kenderaan elektrik hanya digunakan untuk penggerak. Sistem asas seperti infotainmen, penghawa dingin, lampu, dan lain-lain menggunakan sistem 12V.

Ini bermaksud kenderaan elektrik mempunyai dua sistem elektrik yang berbeza: sistem voltan rendah 12V dan sistem voltan tinggi yang menerima kuasa dari pek bateri untuk menggerakkan motor elektrik. Ini adalah langkah keselamatan untuk untuk melindungi pengguna daripada kemungkinan terkena renjatan eletrik.

Apabila anda menghidupkan kenderaan elektrik, sistem elektrik 12V akan mengaktifkan suis untuk menyambungkan pek bateri kepada litar utama kereta. Ini membolehkan kuasa sampai ke motor elektrik. Apabila kenderaan elektrik tidak aktif, diparkir, dan dimatikan, sistem 12V yang sama akan mengarahkan suis untuk memutuskan sambungan pek bateri daripada litar.

Walau bagaimanapun, pelanggan dinasihatkan untuk membaca manual untuk memahami lebih lanjut tentang cara mengendalikan EV dalam hujan dan keadaan cuaca melampau.

Kebanyakan kenderaan elektrik dibina mengikut peraturan keselamatan yang ketat dari segi penebatan untuk memastikan pemandu, penumpang lain, atau responden kecemasan tidak terdedah kepada arus voltan tinggi. Perkara yang sama juga terpakai kepada stesen pengecasan, penyambung pengecasan, dan kabel/peralatan berkaitan. Kesemua ini juga dibina dengan mengambil kira aspek keselamatan.

Jika anda melihat kebanyakan pengecas EV, ianya dibina dengan sangat teliti terhadap penebatan. Ini kerana pengecas EV mesti mematuhi garis panduan yang sangat ketat. Oleh itu, adalah penting untuk memeriksa pengecas sebelum menggunakannya untuk memastikan tiada kerosakan pada penyambung atau kabel.

Tiada jaminan bahawa pengecas yang rosak dapat memberikan tahap penebatan atau perlindungan yang sama kepada pengguna seperti pengecas yang berfungsi dalam keadaan baik. Keadaan yang sama berlaku untuk cuaca ekstrem.

Anda harus mengelakkan memandu kenderaan elektrik dalam air bertakung yang tinggi. Ini kerana terdapat kemungkinan air menembusi komponen elektrik anda dan menyebabkan kerosakan kekal. Kenderaan elektrik direka dengan sangat baik; namun, air masih boleh masuk ke dalam kawasan tertentu dan menyebabkan masalah serius.

Adalah penting untuk diingat bahawa anda harus mengelakkan daripada cuba mengecas kenderaan anda di kawasan terbuka semasa ribut petir. Beberapa tempat pengecasan EV tidak dilindungi oleh bumbung, yang membuatkan anda terdedah kepada elemen cuaca.

Walaupun kenderaan elektrik anda direka untuk menghadapi cuaca ekstrem, manusia tidak mempunyai ketahanan yang sama. Dalam keadaan tersebut, sambaran petir boleh menjadi sangat berbahaya.

Static PS article footer (PNG)