Acer Malaysia lancar Swift 16 AI dan Swift Lite 14; Harga bermula RM3,799

Acer Malaysia kini menambah dua model baharu ke dalam rangkaian komputer riba nipis dan ringan mereka, iaitu Acer Swift 16 AI dan Acer Swift Lite 14. Direka untuk pengguna yang sentiasa bergerak, kedua-dua model ini menggunakan pemproses Intel yang memberikan prestasi terbaik untuk kegunaan harian mahupun kerja berat.
Secara khususnya, Acer Swift 16 AI dilengkapi dengan Intel Core Ultra 7 (Siri 2) yang mampu mencapai lebih 120 TOPs. Bahagian luarannya dibina dengan aluminium, manakala skrin OLED 16″ WQXGA+ memberikan visual tajam dan terang. Acer juga menyatakan bahawa hayat bateri bagi komputer riba ini adalah sehingga 20 jam penggunaan.

Sejajar dengan nama ‘AI’ di belakangnya, anda akan mendapat satu set ciri AI, khususnya untuk memudahkan pengalaman persidangan video. Ini termasuk PurifiedVoice untuk mengurangkan bunyi latar belakang, dan PurifiedView untuk meningkatkan visual serta menambah kesan kabur bagi latar belakang. Laptop ini juga mempunyai User Sensing 2.0 yang mengunci komputer riba secara automatik apabila pengguna berada jauh dari peranti.
Acer Swift 16 AI kini tersedia pada harga RM5,699, dan boleh dibeli melalui eStore rasmi Acer, serta di platform rasmi Shopee dan Lazada. Sebagai alternatif, komputer riba ini juga boleh didapati di penjual sah Acer di seluruh negara.

Sebagai sebahagian daripada promosi pra-pelancaran, pelanggan yang membeli sebelum 23 April akan menerima SanDisk DualDrive 256GB bernilai RM199.
Beralih ke Acer Swift Lite 14, ini adalah varian yang lebih ringan dengan berat hanya 999g. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan engsel 180 darjah yang membolehkan ia dibuka rata di atas permukaan untuk lebih fleksibiliti. Manakala, untuk pemproses, pengguna boleh memilih sama ada untuk mendapatkan Intel Core Ultra 7 atau Core Ultra 5.

Walau bagaimanapun, Acer Swift Lite 14 hanya akan tersedia mulai pertengahan April 2025 dengan harga permulaan RM3,799, yang mana ia boleh dibeli di saluran yang sama seperti Swift 16 AI. Pelanggan yang membeli komputer riba ini sebelum 30 April akan menerima Acer Wireless Bubble Mouse bernilai RM79.

Selain daripada promosi pembeli awal yang sedia ada, Acer turut menawarkan kredit Touch n’ Go eWallet sebagai sebahagian daripada Kempen Ganjaran Terbesar yang sedang berlangsung. Pembelian Acer Swift 16 AI dan Swift Lite 14 akan memberikan pelanggan kredit RM100 dan RM80 masing-masing.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!