4 pendedahan besar pada hari pertama Malaysia Autoshow 2025

Malaysia Autoshow 2025 kini telah dibuka secara rasmi. Diadakan di MAEPS, Serdang, pameran automotif terbesar negara ini dibuka kepada orang awam dari 9 hingga 15 Mei 2025, dan tiket boleh dibeli di autoshow.my.
Sebelum itu, satu acara tertutup telah diadakan untuk wakil media berdaftar, pempamer dan tetamu VIP jemputan. Sesi lawatan media berpandu turut dianjurkan, di mana para peserta diberi pratonton eksklusif dan pelancaran istimewa.
Berikut ialah 4 pendedahan utama yang berlangsung pada hari pertama Malaysia Autoshow 2025.
Pratonton model Proton eMas 5

Pengeluar kereta nasional Proton mengambil peluang memperkenalkan model EV kedua mereka – eMas 5. Selain daripada beberapa foto jalanan yang diambil oleh orang ramai sebelum ini, ini merupakan penampilan awam pertama kereta tersebut. Namun begitu, banyak perinciannya masih dirahsiakan — secara literal.
Ketika didedahkan, eMas 5 masih diselubungi balutan ‘camouflage’ berwarna-warni yang menyembunyikan rekaan sebenar. Walaupun begitu, pengunjung tetap boleh menilai saiz dan bentuk kasar kereta tersebut, yang dilihat sebagai sebuah hatchback kecil menyerupai Geely Xingyuan, selaras dengan laporan sebelum ini.
Setakat ini, Proton masih mengunci mulut mengenai butiran lain, dengan hanya mengesahkan bahawa pelancaran rasmi akan berlangsung hujung tahun ini.
Penampilan prototaip EV eMO oleh Perodua

Di bahagian lain dewan pameran, Perodua turut menunjukkan komitmen mereka dalam pasaran EV. Satu pentas berputar tersedia menampilkan prototaip pertama EV Perodua, iaitu Perodua eMO EV. Namun ia bukan pendedahan penuh, kerana prototaip tersebut dipamerkan dalam bentuk potongan separuh (half-cut).
Perodua sengaja mempamerkan eMO EV dalam bentuk ini untuk memperlihatkan bahagian dalaman serta sistem mekanikal kereta. Seperti eMas 5, prototaip ini juga masih dalam warna tidak rasmi, dibalut dengan ‘camouflage’ hitam buat masa ini.
JETOUR lancar model SUV baharu VT9

Kemudiannya, pengeluar kereta dari China, JETOUR, memperkenalkan barisan SUV terbaharu mereka, JETOUR VT9. Model baharu ini hadir dengan kabin 7-tempat duduk serta tempat duduk baris kedua dan ketiga yang boleh dilipat, menawarkan sehingga 1,680L ruang kargo.
Di bahagian dalam, VT9 dilengkapi sistem ‘infotainment’ LCD bersaiz 10.25 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara wayarles.

JETOUR VT9 diperkenalkan dalam dua varian, iaitu Comfort dan Prime. Harga bagi varian Comfort bermula dari RM118,800. Ia hadir dengan lampu utama LED automatik, kemasan luaran merah bergaya, rim aloi bersaiz 19 inci, tempat duduk dengan rekaan premium, serta pencahayaan ambien.
Sementara itu, varian Prime bermula pada harga RM123,800 dan dilengkapi dengan pelbagai ciri mewah tambahan, termasuk bumbung suria panoramik, sistem audio 6 pembesar suara, tempat duduk dengan fungsi memori, serta cermin pandang belakang yang boleh bertukar gelap secara automatik. Selain itu, ia turut dimuatkan dengan ciri keselamatan menyeluruh seperti Pengesanan Titik Buta (BSD), Amaran Trafik Silang Belakang (RCTA), dan Amaran Pertukaran Lorong (LCW).
Chery tampilkan TIGGO CROSS buat pertama kali

Sementara itu, Chery memperkenalkan TIGGO CROSS yang sangat dinantikan. Ini adalah edisi terkecil dan paling kompak dalam siri TIGGO, yang hadir dalam dua versi: varian Kenderaan Elektrik Hibrid 1.5L (HEV) dan varian Turbocharged 1.5L.
Harga rasmi untuk TIGGO CROSS masih belum diumumkan, namun pendaftaran minat sudah dibuka bagi pelanggan yang berminat.
Seiring dengan pelancaran TIGGO CROSS, Chery juga memperkenalkan dua SUV hibrid: TIGGO 8 PHEV dan TIGGO 7 PHEV, kedua-duanya dijadualkan untuk dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.
Baca lebih banyak artikel kami di bawah!

